Armizan (duduk, tengah) bercakap pada sidang media hari ini.
PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2025 bermula 23 hingga 27 Disember ini bagi memastikan pengguna menikmati harga barangan keperluan yang berpatutan sempena sambutan Krismas.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, tempoh pelaksanaan selama lima hari itu meliputi dua hari sebelum perayaan, hari perayaan pada 25 Disember, serta dua hari selepas perayaan.
Menurut beliau, sebanyak 14 jenis barangan dikenal pasti untuk dikawal di bawah skim berkenaan.
Barangan yang terlibat di bawah Skim ialah:
(1) Daging kambing biri-biri bertulang import;
(2) Kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis
Beijing);
(3) Lobak merah (China);
(4) Tomato;
(5) Cili merah;
(6) Lada benggala hijau;
(7) Bawang merah besar;
(8) Bawang kuning besar;
(9) Ubi kentang import (China);
(10) Kepak ayam;
(11) Ayam tua hidup (Sarawak sahaja);
Sabah, Sarawak dan Wilayah
Persekutuan Labuan sahaja:
(12) Babi hidup (ladang sahaja);
(13) Daging babi (perut); dan
(14) Daging babi (daging dan lemak)
“Tempoh pelaksanaan SHMMP Krismas 2025 kali ini adalah bersesuaian mengikut keadaan semasa dengan mengambil kira pertimbangan agar pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan dan peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh pelaksanaan yang terlalu lama,” katanya pada sidang media diadakan di sini hari ini.
Armizan berkata, penentuan senarai barangan, paras harga maksimum serta tempoh pelaksanaan dibuat dengan mengambil kira faktor permintaan dan penawaran, kos semasa, cuaca serta kadar upah.
Beliau berkata, pandangan rakan strategik termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi kerajaan serta pemain industri turut diambil kira dalam pelaksanaan skim berkenaan.
Katanya, KPDN juga sentiasa menjalinkan kerjasama dengan KPKM bagi memastikan bekalan barangan terkawal mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan SHMMP Krismas 2025.
Skim itu akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan membolehkan penentuan harga maksimum di peringkat pemborong serta peruncit.
“Harga maksimum yang ditetapkan boleh disemak melalui laman web KPDN,” katanya.
Beliau berkata, pegawai penguat kuasa KPDN di seluruh negara akan ditempatkan di lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah bagi memastikan pematuhan peniaga terhadap perundangan sepanjang tempoh skim.
Menurutnya, penguatkuasaan dilaksanakan secara berhemah dengan memberi pendidikan, nasihat dan amaran kepada peniaga supaya mematuhi undang-undang serta mengamalkan perniagaan beretika.
Kerajaan katanya, berharap semua pihak mematuhi harga maksimum yang ditetapkan serta menggunakan label merah jambu bagi barangan harga terkawal.
Armizan mengingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim berkenaan.
“Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah AKHAP 2011 dan dikenakan penalti termasuk denda atau kompaun,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai diminta menyalurkan sebarang aduan berkaitan melalui saluran rasmi KPDN termasuk WhatsApp, talian pusat panggilan, laman sesawang e-Aduan, e-mel serta aplikasi Ez ADU KPDN.
Selain SHMMP, Armizan berkata, KPDN turut melaksanakan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Krismas serta Program Servis Ihsan MADANI@Petronas AutoExpert (SIM@PAX) sempena sambutan Krismas 2025.
Menurutnya, PJRM Krismas dilaksanakan dari 18 hingga 27 Disember 2025 dengan sebanyak 875 program diadakan di seluruh negara.
“Orang ramai boleh menyemak takwim pelaksanaan PJRM Krismas 2025 melalui laman sesawang KPDN,” katanya.
Beliau berkata, SIM@PAX pula melibatkan 115 premis bengkel di seluruh negara dan dilaksanakan dari 18 hingga 27 Disember 2025, dengan tempahan janji temu boleh dibuat melalui aplikasi SETEL.


























