KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan melaksanakan kajian bagi memberi Bantuan Subsidi Bayaran Deposit Rumah Pertama khusus kepada golongan muda yang daif, sebagai usaha memperkukuh program pembasmian kemiskinan di negeri ini.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, walaupun kajian ini sedang dijalankan, kriteria dan syarat kelayakan akan diteliti dan disediakan oleh pihak Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan sebelum bantuan dapat dilaksanakan.
Masidi menegaskan bahawa Kerajaan kekal komited meningkatkan kesejahteraan rakyat khususnya melalui usaha membasmi kemiskinan di seluruh Sabah.
Usaha ini dijalankan menerusi Model Menoktahkan Kemiskinan Tegar di bawah Program Menoktahkan Miskin Tegar Negeri Sabah, yang memberi tumpuan kepada lima intervensi utama iaitu perumahan, pekerjaan, pendidikan, kebajikan dan kewangan serta keusahawanan dan latihan. Program ini bertujuan membantu Ketua Isi Rumah (KIR) berstatus miskin tegar keluar daripada kancah kemiskinan.
Beliau turut mengingatkan bahawa pada tahun 2025, Sabah mencatat kejayaan mencapai sifar miskin tegar dengan data eKasih setakat 3 November 2025 menunjukkan tiada KIR miskin tegar, manakala 55,782 KIR masih berstatus miskin dan menjadi fokus intervensi selanjutnya.
Sehubungan itu, Kerajaan akan memperkasakan program berimpak tinggi seperti Program MySMJ Profiling, Rumah Mesra SMJ, Bantuan Pendidikan, Program MySMJ Kerja dan Program SYUKUR, bagi mengimbangi peningkatan angka kemiskinan berikutan pelaksanaan Kadar Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) baharu pada tahun 2026.
Beliau berkata demikian semasa membentangkan Belanjawan Sabah 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Masidi juga mengumumkan bahawa kuota Rumah Mesra SMJ akan ditambah daripada 40 unit kepada 50 unit bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun hadapan, dengan 10 unit tambahan dikhaskan kepada mereka berumur 40 tahun ke bawah, telah berumah tangga dan tidak memiliki rumah.
Beliau menegaskan, usaha ini merupakan sebahagian daripada komitmen Kerajaan untuk memastikan golongan muda dan keluarga berpendapatan rendah terus mendapat peluang memiliki rumah sendiri, sekaligus mengurangkan beban hidup dan memperkukuh kesejahteraan rakyat Sabah.
































