KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM249.19 juta untuk pembangunan sektor perindustrian Sabah pada 2026, sejajar usaha memacu pertumbuhan ekonomi dan menarik pelaburan strategik.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2026 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Beliau menekankan fokus Kerajaan dalam memperkukuh sektor perindustrian, meningkatkan promosi pelaburan dan memperluas peluang ekonomi untuk rakyat Sabah.
Masidi berkata, setakat suku kedua 2025, Sabah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM11.368 bilion daripada dalam dan luar negara, merangkumi sektor pembuatan, perkhidmatan serta sektor utama seperti perindustrian, pelancongan dan pertanian. Jumlah ini meletakkan Sabah di kedudukan kelima tertinggi penerima pelaburan di Malaysia, meningkat 76 peratus berbanding keseluruhan pelaburan 2024 yang bernilai RM6.458 bilion.
“Daripada jumlah pelaburan ini, sektor pembuatan kekal sebagai penyumbang utama dengan nilai RM7.472 bilion, diikuti sektor perkhidmatan sebanyak RM3.139 bilion, manakala sektor utama menyumbang RM757 juta. Pencapaian ini membuktikan keyakinan pelabur terhadap persekitaran ekonomi stabil, dasar mesra pelabur dan komitmen Kerajaan Sabah dalam memperkukuh ekosistem industri negeri,” jelas beliau.
Masidi turut menekankan pelaburan fasa pertama syarikat Esteel Enterprise Sabah Sdn. Bhd. dari Singapura bernilai RM6.592 bilion sebagai pemangkin utama pertumbuhan industri Sabah. Projek ini melibatkan pembinaan kilang keluli hijau di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) serta jeti persendirian untuk menyokong aktiviti logistik. Ia dijangka membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, meningkatkan penyertaan vendor tempatan dan mengukuhkan rantaian bekalan industri keluli di negeri ini.
Dalam usaha memperkukuh sektor perindustrian, kerajaan memperuntukkan RM194.04 juta kepada Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (KPKP) beserta jabatan dan agensi di bawahnya bagi memacu pertumbuhan industri, menarik pelaburan dan menggiatkan aktiviti perdagangan.
Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) terus diberi tumpuan sebagai pemangkin kepada industri pembuatan. “Melalui RMK-13, Program Keusahawanan Negeri diperuntukkan RM5 juta untuk meningkatkan daya saing usahawan IKS Sabah ke peringkat nasional dan antarabangsa. Selain itu, RM16.86 juta diperuntukkan untuk penyertaan ekspo dalam dan luar negara bagi mengembangkan pasaran produk usahawan tempatan,” kata Masidi.
Selain itu, sejumlah RM18.55 juta diagihkan melalui kementerian lain bagi pelaksanaan program pembangunan usahawan tempatan, termasuk RM15 juta untuk Program Bantuan SME-UP, RM1.5 juta untuk Program Pemerkasaan Produk Desa dan RM2.05 juta untuk inisiatif berimpak tinggi seperti Sabah Sandbox Accelerate 2026, Creative Incubator 2026 dan Pitchborneo, bertujuan memacu ekonomi berasaskan inovasi, digital dan kreativiti.
Di bawah RMK-13, siling peruntukan sebanyak RM500.1 juta diluluskan untuk melaksanakan 123 program/projek, termasuk 34 projek sambungan dan 89 projek baharu. Peruntukan ini turut melibatkan agensi seperti Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO), Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) Sdn. Bhd., POIC Sabah Sdn. Bhd. dan Sabah Oil & Gas Development Corporation (SOGDC) Sdn. Bhd.
Sebanyak RM43.53 juta disediakan untuk pembangunan infrastruktur dan utiliti di Taman Perindustrian KKIP, POIC Lahad Datu dan SOGIP bagi memastikan persekitaran lebih kondusif dan menarik peluang pelaburan. Sementara itu, SEDCO menerima RM16.90 juta bagi meneruskan projek pembinaan rumah kedai, hotel dan kedai di beberapa daerah termasuk Kalabakan, Tungku, Matunggong, Pulau Bum-Bum Semporna, Weston dan Kg Padas Damit, Beaufort.
Dalam usaha memperkukuh jaringan pengangkutan, Jabatan Keretapi Sabah (JKNS) dan Jabatan Pelabuhan & Dermaga Sabah kini diletakkan di bawah KPKP. JKNS diperuntukkan RM66.59 juta bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan, termasuk projek pembaikan cerun dan tebing Sungai Padas di Jajaran Beaufort–Tenom bernilai RM4 juta. Siling peruntukan RM80.25 juta diluluskan di bawah RMK-13 bagi 47 projek pembangunan, termasuk 8 projek sambungan dan 39 projek baharu.
Masidi menegaskan bahawa pelaburan dan peruntukan yang disalurkan menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk memperkukuh sektor perindustrian negeri, menarik lebih banyak pelabur serta membuka peluang ekonomi baharu kepada rakyat Sabah.
“Kerajaan komited memastikan pembangunan industri memberi impak langsung kepada ekonomi, komuniti dan pertumbuhan negeri secara mampan,” ujarnya.































