KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM174.45 juta kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) serta jabatan dan agensi di bawahnya bagi pembangunan sektor pelancongan Sabah pada 2026.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2026 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Beliau menekankan bahawa peruntukan ini bertujuan memperkukuh pertumbuhan industri pelancongan sambil memelihara nilai warisan budaya dan kelestarian alam semula jadi.
Masidi menjelaskan bahawa industri pelancongan antarabangsa dijangka terus berkembang positif pada tahun hadapan, dipacu oleh permintaan perjalanan yang tinggi, peningkatan kesalinghubungan penerbangan dan keyakinan pengguna yang semakin pulih. Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa persaingan bukan sahaja di peringkat global, malah negeri-negeri lain di Malaysia turut menawarkan produk dan pengalaman pelancongan yang kreatif dan berdaya saing.
“Seiring dengan pengisytiharan Tahun Melawat Malaysia 2026, Kerajaan Sabah akan mempergiat inisiatif, program dan acara berimpak tinggi bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini. Antara usaha termasuk penganjuran Festival Budaya dan Alam Semula Jadi berskala besar, promosi Pelancongan Berasaskan Komuniti serta pengukuhan kempen pemasaran digital untuk pelancong antarabangsa,” katanya.
Masidi menambah bahawa kerajaan sedang merancang ‘Tahun Melawat Sabah 2027’ sebagai kesinambungan untuk memperkukuh jenama Sabah sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia serta memastikan pertumbuhan industri pelancongan yang mampan dan inklusif.
Beliau menegaskan bahawa kekuatan sebenar Sabah terletak pada ekopelancongan, keunikan identiti budaya, kekayaan warisan dan keindahan alam semula jadi. Di bawah RMK-13, siling peruntukan sebanyak RM493.02 juta diluluskan untuk 53 projek pembangunan pelancongan, termasuk 19 projek sambungan dan 34 projek baharu.
Antara projek utama adalah Kajian Pembinaan Muzium Baharu Sabah, penubuhan Kota Kinabalu Performing Arts Centre (KKPAC), pembinaan Arte Museum (Digital Museum), Galeri Marin di Taman Tun Mustapha, Kudat, serta peningkatan kemudahan pelancongan di Pulau Bohey Dulang, Semporna.
Kerajaan juga memperuntukkan RM38.70 juta untuk menaik taraf fasiliti dan infrastruktur sedia ada, termasuk Petagas War Memorial Park, Muzium Etnik Ranau, Pusat Kebudayaan Penampang dan Pusat Kebudayaan Murut, Tenom.
Selain itu, Jabatan Muzium Sabah menerima RM6.7 juta untuk memelihara dan membaik pulih bangunan muzium sedia ada serta menambah baik ruang pameran bagi memperaga koleksi khazanah budaya negeri, manakala RM18.97 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus.
Masidi turut menekankan bahawa kerajaan akan meneruskan pembangunan Pemetaan Budaya Etnik 2026-2030 bagi mendokumentasikan kepelbagaian etnik dan budaya Sabah secara sistematik untuk rujukan generasi kini dan akan datang.
“Peruntukan ini bukan sahaja memberi impak ekonomi, malah turut memastikan warisan budaya Sabah dipelihara dan diwarisi generasi akan datang,” katanya.

































