KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan membayar Bantuan Khas Kewangan sebanyak sebulan gaji atau minimum RM2,000 kepada semua penjawat awam Sabah, termasuk yang berstatus kontrak, Vot Terbuka dan pekerja sambilan harian pada tahun 2026.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2026 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Beliau menekankan bahawa langkah ini adalah penghargaan Kerajaan terhadap sumbangan penjawat awam sebagai nadi utama pentadbiran negeri.
“Bantuan khas ini akan melibatkan 18,853 penjawat awam dan dibayar dalam dua fasa, iaitu sebelum Hari Raya Aidilfitri pada bulan Februari dan sebelum sambutan Kaamatan tahun 2026,” jelas beliau.
Masidi menambah bahawa bantuan sama juga diberikan kepada pesara kerajaan Sabah berjumlah RM1,000 sebagai tanda penghargaan terhadap perkhidmatan mereka kepada negeri.
Selain itu, Kerajaan memperuntukkan RM7.6 juta bagi menggalakkan pembelajaran berterusan dalam kalangan penjawat awam, sebagai usaha membentuk barisan pegawai yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi serta memiliki keupayaan analitikal dan kepimpinan masa depan.
Sejumlah RM16.85 juta turut diagihkan kepada semua agensi Kerajaan Sabah di bawah pembangunan sumber manusia bagi memastikan penjawat awam terlatih, cekap dan dilengkapi pengetahuan serta kemahiran menghadapi cabaran semasa.
Masidi menegaskan bahawa Perkhidmatan Awam Sabah adalah tulang belakang pentadbiran Kerajaan Negeri. Langkah-langkah ini bertujuan memastikan penjawat awam sentiasa berdaya saing, berkesan dan mampu menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Kerajaan komited dalam menghargai sumbangan penjawat awam sambil memperkukuh pembangunan sumber manusia yang berkualiti, bagi menjamin pentadbiran negeri terus berfungsi dengan cekap dan berkesan,” ujarnya.


































