KOTA KINABALU: Sektor pertanian, perikanan dan industri makanan terus menjadi nadi pembangunan sosioekonomi Sabah apabila Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah besar dana bagi memperkukuh keterjaminan makanan serta meningkatkan pendapatan rakyat luar bandar.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini, sambil menegaskan komitmen kerajaan untuk melonjakkan produktiviti dan daya saing sektor makanan negeri.
Beliau berkata, bagi tahun 2026, Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) serta semua jabatan dan agensi di bawahnya menerima peruntukan sebanyak RM559.85 juta, termasuk RM75.75 juta khusus untuk pengoperasian dan bantuan kepada nelayan, petani serta penternak.
Menurut Masidi, Jabatan Pertanian Sabah sahaja diperuntukkan RM171.36 juta bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan. Di bawah RMK-13, jabatan itu melaksanakan 108 projek pembangunan subsektor tanaman melibatkan penyelidikan, latihan modal insan, agropelancongan, perkhidmatan pengembangan serta pembangunan varieti tanaman.
“Antara projek tumpuan tahun hadapan ialah pembangunan Zon Pengeluaran Tanaman Makanan Kekal di 15 Taman Kekal Pengeluaran Makanan berkeluasan 595 hektar, dengan sasaran pengeluaran 1,494.5 tan metrik sayuran dan buah-buahan bernilai RM4.32 juta,” katanya.
Selain itu, kerajaan turut menekankan pembangunan teknologi penanaman mesra alam, pemuliharaan tanah dan air serta penghasilan varieti tanaman baharu yang lebih tahan penyakit.
Masidi berkata, Sabah juga bakal memiliki Sabah Agricultural Biotechnology Centre (SABTeC) di Tuaran yang akan dilengkapi makmal biologi molekul, bioinformatik, kultur tisu dan rumah hijau tumbuhan transgenik bagi menyokong penyelidikan berimpak tinggi untuk pembangunan varieti tahan penyakit dan aplikasi penanda DNA.
Bagi Korporasi Pembangunan Desa (KPD), sebanyak 21 projek pembangunan diperuntukkan di bawah RMK-13, dengan RM14.13 juta untuk pengoperasian dan RM6.94 juta bagi memulakan 15 projek pada 2026. Program Perladangan Kontrak melibatkan penyertaan belia dalam ternakan ayam pedaging akan terus diperkukuh sebagai strategi utama meningkatkan pengeluaran makanan tempatan.
Turut dimulakan tahun hadapan ialah pembinaan Kilang Pemprosesan Hasil Pertanian di Keningau serta Projek Makanan Tambahan Lebah Madu dengan peruntukan RM1.55 juta, yang dijangka membantu meningkatkan hasil tani dan pendapatan petani. KPD turut memperkukuh pemasaran melalui 10 Pusat Pengumpulan Hasil Tani dengan peruntukan RM1 juta.
Masidi berkata, Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) akan melaksanakan 46 projek di bawah RMK-13 dengan siling peruntukan RM50.38 juta, manakala RM17.4 juta disediakan pada 2026 untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan. Ini termasuk RM6.4 juta untuk menaik taraf jalan-jalan pertanian, pembinaan pejabat baharu serta stor baja dan racun, selain RM20 juta bagi Insentif Pengeluaran kepada pekebun kecil getah.
Sementara itu, Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) diberi RM3 juta bagi perbelanjaan mengurus dan RM15 juta untuk perolehan jentera serta pembajakan padi, selari dengan sasaran 60 peratus Tahap Sara Diri (SSL) beras menjelang 2030. Program Revolusi Penanaman Padi akan dilaksana di Papar, Keningau, Tambunan, Kota Belud, Tuaran dan Kota Marudu.
“Usaha ini bertujuan meningkatkan SSL beras, mengurangkan kebergantungan import serta mempertingkat pendapatan dan kesejahteraan pesawah,” katanya.
Dalam subsektor perikanan dan akuakultur, Jabatan Perikanan Sabah menerima RM48.26 juta pada 2026, termasuk RM13.90 juta bagi 33 projek baharu seperti program konservasi, penguatkuasaan, latihan, penyelidikan, biosekuriti dan pembangunan sosioekonomi. Sebanyak 35 projek baharu diluluskan di bawah RMK-13 dengan siling RM85.73 juta.
Korporasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan) pula menerima siling RM108.45 juta di bawah RMK-13 bagi 28 projek pembangunan, manakala RM25.11 juta diperuntukkan pada 2026 untuk mengurus serta memperkukuh pembangunan industri perikanan dan akuakultur negeri.
Dalam subsektor ternakan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (DVS) diperuntukkan RM14.78 juta untuk program pembangunan serta RM65.95 juta bagi perbelanjaan mengurus. Sebanyak 100 projek diluluskan di bawah RMK-13 dengan siling RM122.27 juta, selari dengan sasaran mencapai SSR ruminan 25 peratus menjelang 2030.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula menerima RM157.13 juta untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan, termasuk RM25.41 juta bagi menaik taraf infrastruktur pengairan dan saliran, tebatan banjir, pemuliharaan sungai dan pantai serta pembaikan sawah padi. Di bawah RMK-13, JPS melaksanakan 46 projek dengan siling RM302.88 juta.
Masidi menegaskan bahawa keseluruhan pelaburan ini mencerminkan kesungguhan kerajaan memastikan sektor makanan Sabah berkembang secara mampan dan berdaya saing, sekali gus menjamin masa depan keterjaminan makanan negeri.
“Kerajaan komited memastikan rakyat Sabah menikmati manfaat langsung melalui peningkatan pendapatan, peluang pekerjaan dan pengukuhan sekuriti makanan negeri,” katanya.































