Dr. Mohd. Arifin membuang undi di SMK Membakut 2 pada 9.35 pagi.
KOTA KINABALU: Calon-calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini menunaikan tanggungjawab masing-masing sebagai pengundi dalam suasana aman dan teratur di pusat mengundi sekitar Membakut, Papar dan Usukan.
Di Membakut, calon GRS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Membakut, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif hadir membuang undi di SMK Membakut 2 pada jam 9.35 pagi.
Ketibaan beliau disambut para petugas yang memastikan proses pengundian berjalan lancar sejak pusat mengundi dibuka.

Armizan membuang undi di SMK Pengalat, Papar pada 1.10 tengah hari.
Sementara itu di Papar, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merangkap Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd. Ali, turut menunaikan haknya sebagai pengundi pada jam 1.10 petang di SMK Pengalat.
Beliau turut beramah mesra dengan pengundi yang hadir sambil menyeru rakyat memanfaatkan ruang demokrasi dengan penuh tanggungjawab.

Joniston bersama isterinya membuang undi di SK Malangang Baru, Kiulu.
Di Kiulu, calon GRS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai bersama isterinya, Datuk Lucy Irene Yong membuang undi di SK Malangang Baru.
Mereka turut berinteraksi mesra dengan para pengundi yang hadir.

Ellron mengundi di SK Kampung Biah.
Calon GRS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sook, Datuk Ellron Angin menunaikan tanggungjawab mengundi di SK Kampung Biah.
Ellron tiba di pusat mengundi sekitar jam 9 pagi dan disambut petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum masuk ke saluran ditetapkan.

Japlin bersama isterinya menunjukkan jari yang telah dicelup dakwat tanda selesai mengundi.
Di Usukan, calon GRS, Datuk Japlin Akim melaksanakan tanggungjawab mengundi di SK Timbang Dayang sekitar 11.50 pagi, ditemani isterinya, Datin Wini Chai.
Suasana tenang dan teratur menyambut kehadiran mereka, dengan petugas pilihan raya memastikan pergerakan pengundi berjalan lancar.
Japlin menekankan bahawa masa depan Usukan harus dibina atas kestabilan dan pembangunan berterusan yang berpaksikan suara akar umbi.

Razali mengundi di SAN Likas.
Calon GRS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau, Razali Razi mengundi di Sekolah Agama Negeri (SAN) Likas, tengah hari tadi.
Razali tiba di pusat pengundian pada jam 12.10 tengah hari dan selesai menunaikan tanggungjawab mengundi kira-kira jam 12.20 tengah hari menerusi saluran 3.
Razali berkata, beliau tidak menyangka sambutan yang diterimanya begitu hangat sehingga ramai pengundi menghampirinya untuk bergambar.






























