Hajiji dan Juliah mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Serusop, Tuaran, hari ini.
TUARAN: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Serusup, di sini.
Beliau yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) tiba di perkarangan sekolah berkenaan kira-kira jam 11.30 pagi bersama isteri, Datin Seri Hajah Juliah Salag.
Bercakap kepada pemberita selepas itu, Hajiji berkata, beliau berharap rakyat akan keluar mengundi nenunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.
“Saya menerima laporan awal bahawa proses pengundian berjalan dengan baik, aman dan teratur. Walaupun ramai calon yang bertanding tetapi keharmonian dapat dipertahankan.
“Oleh itu saya meminta rakyat untuk keluar awal mengundi kerana kita risau petang akan hujan,” katanya kepada media selepas mengundi di SK Serusup di sini pada Sabtu.
Pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah kali ini, Hajiji mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman.
Beliau ditentang empat calon iaitu calon Barisan Nasional (BN), Dr. Shahnon Rizal Thaijuddin; Moktar Hussin (Parti Warisan), Pajudin Nordin (Parti Impian Sabah) dan Tiaminah @ Siti Aminah Ele (Perikatan Nasional).
































