Jahid bersama Dr. Bonaventure dan pemimpin PBS Tamparuli.
TAMPARULI: Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian N.14 Tamparuli kini berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-17 yang dijangka berlangsung pada penghujung November ini.
Ketua Bahagiannya, Datuk Seri Jahid Jahim berkata, seluruh jentera parti di peringkat Bahagian telah diperkemaskan dengan persiapan rapi melibatkan semua sayap parti, termasuk Pemuda dan Wanita PBS.
Menurut beliau, perpaduan kukuh dalam kalangan kepimpinan serta barisan AJK Bahagian menjadi kekuatan utama PBS Tamparuli untuk terus mara ke hadapan menghadapi cabaran politik semasa.
Dalam perkembangan sama, Jahid memaklumkan bahawa kepimpinan Bahagian turut sebulat suara menyokong pemilihan calon baharu, Dr. Bonaventure Boniface bagi membawa panji PBS/GRS di N.14 Tamparuli pada pilihan raya kali ini. Pengumuman itu telah dibuat oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor pada program Hari Keluarga UPPM Daerah Tuaran yang berlangsung di Dewan Seri Sulaman, Khamis lalu.
Jahid yang merupakan penyandang kerusi N.14 Tamparuli untuk beberapa penggal, menyatakan hasrat untuk berundur demi memberi ruang kepada generasi pelapis selain menumpukan perhatian kepada kesihatan dan keluarga tercinta. Bagaimanapun, beliau kekal memberi sokongan penuh kepada calon baharu dan komited membantu parti dalam kapasiti lain.
Beliau turut menyeru semua AJK Bahagian, penyokong, serta jentera akar umbi untuk bersatu hati dan memberikan sokongan padu kepada Dr. Bonaventure, demi memastikan kemenangan terus berpihak kepada PBS/GRS di Tamparuli.
Sementara itu, Dr. Bonaventure merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan dan AJK Bahagian yang hadir memberikan sokongan kepadanya. Beliau turut menyatakan kesediaannya untuk memikul amanah besar itu dengan penuh komitmen.
“Tanggungjawab yang saya bawa ini sangat besar, dan peluang yang diberikan ini amat bermakna untuk saya pikul — lebih-lebih lagi untuk menggantikan atau meneruskan kepimpinan seorang ‘legend’ seperti Datuk Seri Jahid Jahim,” katanya.
Beliau yakin bahawa dengan semangat kerjasama yang kukuh dalam PBS Tamparuli, serta sokongan padu daripada akar umbi, kerusi N.14 Tamparuli akan terus kekal menjadi milik PBS/GRS dalam pilihan raya akan datang.
Dengan kesepaduan dan tekad yang jitu, PBS Tamparuli kini berdiri teguh untuk meneruskan agenda perjuangan membela rakyat, seterusnya memastikan Tamparuli terus maju di bawah kepimpinan yang stabil dan berwibawa.


































