KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menegaskan bahawa mana-mana ahlinya yang mengambil keputusan untuk bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah 2025 akan dipecat serta-merta.
Setiausaha Agung Gagasan Rakyat, Datuk Mohammad Razali Razi berkata tindakan itu bertentangan sepenuhnya dengan pendirian parti sebagai komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Tindakan bertanding atas tiket Bebas adalah bertentangan dengan pendirian dan keputusan parti. Mana-mana individu yang memilih untuk berbuat demikian tidak lagi mempunyai apa-apa kaitan dengan parti atau pimpinan, walaupun mereka merupakan ahli Gagasan Rakyat sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata parti telah membuat ketetapan jelas bahawa tindakan disiplin termasuk pemecatan serta-merta akan diambil terhadap mana-mana ahli yang melanggar keputusan tersebut.
“Pihak parti tidak akan berkompromi dalam soal disiplin dan kesetiaan. Kita mahu semua ahli, penyokong dan jentera parti memberi fokus penuh kepada memastikan kemenangan calon-calon GRS demi masa depan rakyat Sabah,” katanya.
Gagasan Rakyat turut menyeru seluruh jentera dan penyokong untuk memperkukuh kesatuan menjelang PRU DUN Sabah 2025 agar kemenangan gabungan itu terus dipertahankan.


































