Samsul ketika bercakap kepada media di Istana Seri Kinabalu.
KOTA KINABALU: Sehingga Oktober ini, Sabah mencatat angka sifar bagi isi rumah yang dikategorikan sebagai miskin tegar dalam Sistem eKasih.
Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Sabah Samsul Dollah berkata angka yang direkod sejak 26 Ogos lalu itu bagaimanapun, bersifat dinamik dan paras Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi tahun 2022 yang ditetapkan bagi miskin tegar ialah RM1,218.
“Di Sabah buat masa sekarang, tidak ada miskin tegar. Kategori miskin tegar ini pendapatannya adalah di bawah RM1,218 sebulan seperti yang telah digariskan dalam PGK Miskin Tegar tahun 2022. Namun, angka yang dilaporkan sejak 26 Ogos lalu adalah bersifat dinamik.
“Tambahan lagi, pendapatan ini pula hanya digunakan untuk menampung keperluan makanan seharian mereka sahaja,” jelasnya.
Mengulas mengenai keluarga kategori miskin pula, beliau memaklumkan, keluarga miskin berjumlah 55,782 yang melibatkan 225,227 ahli Isi Rumah (IR) di Sabah menjadikan negeri ini tersenarai dalam kedudukan tiga negeri paling tinggi kemiskinan di Malaysia.
“Buat masa ini, terdapat 55,782 KIR di Sabah yang dikategorikan sebagai miskin iaitu yang mempunyai pendapatan di bawah RM2,742. Angka ini juga adalah dinamik dan boleh berubah mengikut pendaftaran semasa,” ujar beliau.
Bagi memastikan tiada kes yang tercicir, Samsul memaklumkan pihaknya akan memberi penekanan kepada anggotanya supaya sentiasa berhubung dengan Pejabat Daerah atau pihak pemimpin masyarakat setempat bagi melakukan pengesahan dan kemaskini maklumat setiap isi rumah yang terlibat di kawasan masing-masing.
“Dari segi aktiviti pengumpulan maklumat, pejabat ini akan turun ke lapangan setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad untuk menemui KIR yang berdaftar secara bersemuka, termasuk permohonan pendaftaran yang baharu.
“Walau bagaimanapun, masih terdapat KIR yang tidak dapat dijumpai mungkin disebabkan waktu bekerja. Jadi, sekiranya ada KIR tidak dijumpai, pihak kami akan memohon bantuan daripada Pejabat Daerah atau Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) untuk menjejaki KIR tersebut,” ujarnya lanjut.
Tambah Samsul, melalui komitmen berterusan pegawai di lapangan, sistem eKasih dapat diperkukuh sebagai pangkalan data sosial yang tepat, menyeluruh dan berpaksikan keadilan agar tiada keluarga memerlukan yang tercicir daripada menerima bantuan.
“Tugas utama pegawai kita di lapangan adalah untuk tetap turun ke lapangan bagi aktiviti pengumpulan maklumat. Mereka akan bertemu secara bersemuka dengan keluarga-keluarga yang sudah berdaftar untuk mendapatkan sebarang perubahan terhadap maklumat berkaitan sekiranya ada dan juga membanci mana-mana keluarga yang baru mendaftar dalam sistem eKasih.
“Perkara ini akan berlangsung sepanjang tahun untuk memastikan mana-mana keluarga yang betul-betul memerlukan tidak tercicir daripada menerima bantuan.
“Lawatan verifikasi akan dilaksanakan bagi setiap permohonan baharu yang kita terima daripada Pejabat Daerah, selepas selesai Mesyuarat Focus Group peringkat daerah masing-masing. Ini bermakna, hanya KIR yang layak sahaja akan disahkan mesyuarat tersebut sebelum dihantar kepada pihak kami untuk lawatan verifikasi. Kemudiannya barulah semua data tersebut akan dikunci masuk ke dalam sistem eKasih,” dedah beliau.
Perkara tersebut disampaikan oleh beliau semasa kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu yang bertujuan untuk menerangkan mengenai fungsi dan tugas-tugas Pejabat Pembangunan Negeri Sabah.


























