Penyampaian hadiah pertandingan mewarna kanak-kanak tadika perpaduan.
KOTA KINABALU: Program Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCare) membantu para wanita mengesan awal kehadiran kanser serta mendapatkan rawatan berkesan bagi menanganinya.
Menurut Laporan Sabah Cancer Registry 2012–2016, kanser payudara merupakan kanser paling lazim dalam kalangan wanita di Sabah.
Timbalan Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Juwairiya Zulkifli berkata dua pertiga kes kanser wanita di Sabah hanya dikesan pada peringkat lewat iaitu tahap tiga dan empat.
“Kelewatan mengesan awal kehadiran kanser berpunca daripada halangan jarak, kos, dan kurangnya maklumat serta stigma masyarakat luar sana.
“Hakikat ini amat membimbangkan kerana peluang rawatan berkesan amat terhad apabila kanser dikesan lewat. Justeru, penganjuran kempen WCare ini sangat penting bagi mengubah naratif daripada rawatan lewat kepada pencegahan awal.
“Klinik Nur Sejahtera LPPKN di seluruh negara melalui program WCare turut menyediakan saringan ujian mammogram dan ujian HPV DNA sebagai pintu masuk kepada pengesanan awal kanser reproduktif,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Jelajah Kasih Keluarga sempena Kempen WCare di Negeri Sabah, pada Ahad.

Juwairiya ketika menyampaikan ucapan perasmian.
Menurut beliau, penganjuran program yang julung kali diadakan di Kota Kinabalu itu menjadi bukti usaha membawa advokasi kesihatan secara kolaboratif antara Perkumpulan Perempuan Sabah bersama LPPKN.
Juwairiya memaklumkan berdasarkan National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2023, tahap kesedaran dan tindakan masih rendah, terutamanya di kawasan pedalaman.
“Oleh itu, kempen WCare dilaksanakan sebagai jambatan untuk merapatkan jurang pengetahuan, kesedaran dan akses kepada saringan di lapangan.
“Melalui rangkaian Klinik Nur Sejahtera LPPKN, wanita kini berpeluang menjalani saringan dengan cara yang lebih selesa tanpa halangan besar, dan ini membuktikan bagaimana dasar serta inovasi dapat disesuaikan dengan realiti masyarakat,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ujian HPV DNA merupakan kaedah saringan utama kanser serviks, termasuk dengan pilihan pengambilan sampel kendiri.
Juwairiya menyeru agar pemimpin masyarakat, pentadbir daerah, institusi pendidikan, pertubuhan wanita, NGO serta sektor swasta bersama-sama menjadikan saringan kesihatan sebagai budaya baharu masyarakat.




























