Toh Puan Faridah (tengah) bersama Belinda (tiga dari kiri), Maria (tiga dari kanan) dan ahli jawatankuasa SAS bersama memotong kek sambutan Jubli Emas SAS.
KOTA KINABALU: Seramai 500 tetamu hadir memeriahkan Majlis Makan Malam Sambutan Jubli Emas Persatuan Setiausaha Sabah (SAS).
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Maria Melvin Jaikul berkata majlis itu diadakan bagi meraikan sambutan ke-50 tahun SAS selain menghargai sumbangan para ahli dalam menaikkan peranan persatuan serta mengeratkan hubungan antara ahli lama dan baharu.
“Tujuan majlis makan malam ini adalah untuk menyampaikan penghargaan kepada ahli SAS, terutamanya mereka yang telah banyak menyumbang masa, tenaga dan bakti kepada persatuan ini sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.
Penghargaan ini adalah tanda terima kasih kami atas dedikasi dan komitmen yang tidak berbelah bahagi,” katanya ketika ditemui media, pada Ahad.
Majlis yang bertemakan ‘Bollywood Glam Night’ itu turut diserikan dengan kehadiran isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Faridah Tussin yang juga penaung persatuan.
Menurut Maria, SAS kini mempunyai 160 ahli aktif terdiri daripada setiausaha sektor kerajaan negeri, persekutuan dan swasta.
Jelasnya, persatuan itu terus komited bagi memperkasa profesionalisme ahli melalui kursus, seminar dan latihan, terutama bagi setiausaha muda.
“Oleh itu, kami sentiasa mengalu-alukan penyertaan pada setiausaha baharu bagi memperkukuh rangkaian dan semangat kebersamaan dalam persatuan ini,” ujarnya.
Seramai 34 ahli persatuan turut menerima anugerah dan sijil penghargaan di atas komitmen dalam memperkukuh dan memajukan aktiviti persatuan.
Hadir sama, Presiden SAS Datin Belinda Brigid Banding; Presiden Persatuan Setiausaha dan Pentadbir Profesional Malaysia (MAPSA), Cheah Yeung Hua; Presiden Persatuan Setiausaha dan Pentadbir Profesional Brunei (ASAP) Alvina Chung dan Presiden Setiausaha Agensi Persekutuan Sabah (SaFSa) Lucy Samuel.





























