Hajiji (tengah) menyaksikan penyerahan sijil pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) bagi Monumen Penanda Arah Kiblat Tertinggi di Malaysia pada majlis pengiktirafan di The Pacific Sutera Hotel, Kota Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU: Gunung Kinabalu kini bukan sahaja menjadi mercu tanda kebanggaan rakyat Sabah dan destinasi pendakian bertaraf dunia, tetapi turut mencipta sejarah baharu apabila monumen penanda arah kiblat yang dipasang di KM8 gunung itu diiktiraf sebagai Penanda Arah Kiblat Tertinggi di Malaysia oleh Malaysia Book of Records (MBOR).
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor mengumumkan ini pada Majlis Pengiktirafan Malaysia Book of Records bagi Monumen Penanda Arah Kiblat Tertinggi di Malaysia yang diadakan di The Pacific Sutera Hotel, di sini, hari ini.
Dalam ucapannya, Hajiji menyifatkan pengiktirafan tersebut bukan sekadar pencapaian fizikal, tetapi turut melambangkan kekuatan semangat, keilmuan dan keimanan umat Islam di Sabah yang berjaya menggabungkan ilmu falak, teknologi dan ketahanan fizikal dalam satu projek yang unik serta bermakna.
“Monumen ini berdiri megah di puncak tertinggi Malaysia, menjadi lambang keutuhan akidah dan syiar Islam yang menjulang tinggi. Ia bukan sekadar rekod dalam buku, tetapi pengiktirafan terhadap usaha dakwah, ilmu dan inovasi,” katanya.
Menurut beliau, pemasangan monumen kiblat di Gunung Kinabalu amat signifikan kerana membantu pendaki Muslim menentukan arah kiblat dengan tepat ketika menunaikan solat di altitud tinggi, sekali gus mengatasi cabaran ibadah di kawasan ekstrem.
“Pendakian Gunung Kinabalu kini semakin popular dalam kalangan pendaki tempatan dan antarabangsa. Bagi pendaki Muslim, penentuan arah kiblat sering menjadi cabaran. Usaha ini amat tepat pada masanya, memberikan kemudahan serta keyakinan kepada mereka untuk menunaikan solat dengan sempurna,” ujarnya.

Hajiji, diiringi Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Dr. Ustaz Haji Bungsu @ Aziz Jaafar, menyampaikan cenderahati kepada jabatan dan agensi kolaborasi pada Majlis Pengiktirafan Malaysia Book of Records bagi Monumen Penanda Arah Kiblat Tertinggi di Malaysia di The Pacific Sutera Hotel, Kota Kinabalu, hari ini.
Ketua Menteri berkata, monumen berkenaan dipasang pada ketinggian 3,930.4 meter dari aras laut di KM8 Gunung Kinabalu — menjadikannya penanda arah kiblat tertinggi di negara ini.
Beliau menjelaskan, projek itu dilaksanakan dalam beberapa fasa, bermula dengan tinjauan awal dan penentuan arah kiblat menggunakan kaedah falak oleh Pejabat Mufti Negeri Sabah, diikuti kerja-kerja pengukuran oleh Jabatan Tanah dan Ukur Sabah serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).
Antara agensi lain yang terlibat ialah Taman-Taman Sabah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Pejabat Ketua Menteri, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, RTM, Pejabat Daerah Ranau, Pasukan Gerakan Udara (PGU) serta Bahagian Istiadat dan Protokol.
“Sinergi semua agensi ini membuktikan bahawa apabila ilmu, teknologi dan iman bersatu, kejayaan besar dapat dicapai. Gunung Kinabalu kini bukan sekadar destinasi pendakian fizikal, tetapi juga destinasi spiritual dan ilmiah yang mengangkat keagungan ciptaan Allah SWT,” katanya.
Hajiji menambah, kewujudan monumen ini turut memperkukuh kedudukan Sabah sebagai destinasi pelancongan halal dan mesra Muslim di rantau ini, di samping memperkasakan ilmu falak dalam kalangan masyarakat.
“Pelancong Muslim kini boleh menunaikan solat dengan yakin di puncak tertinggi Malaysia. Ini menjadikan Sabah peneraju pelancongan halal serta membuktikan bahawa sains dan agama boleh bergerak seiring dalam suasana aman dan harmoni,” jelasnya.
Beliau yakin pendekatan seumpama ini boleh dijadikan model di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam usaha mengimbangi pembangunan fizikal dan rohani.
“Pencapaian ini wajar menjadi inspirasi kepada generasi muda bahawa kejayaan boleh dicapai melalui ilmu, semangat dan kerjasama. Monumen ini bukan sahaja menandakan arah kiblat, tetapi juga arah kemajuan negeri Sabah — simbol penyepaduan antara pembangunan fizikal dan rohani,” tegasnya.
Katanya lagi, Kerajaan Negeri akan terus menyokong inisiatif berteraskan agama, ilmu dan inovasi selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya yang memberi tumpuan kepada pembangunan rakyat bukan sahaja dari segi ekonomi, tetapi juga nilai dan akhlak.
Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Mufti Negeri Sabah, pasukan teknikal serta semua agensi dan rakan strategik yang menjayakan projek bersejarah tersebut sehingga menerima pengiktirafan daripada MBOR.




























