KK muncul juara keseluruhan SAGA XI.
TAWAU: Kontinjen Kota Kinabalu berjaya mempertahankan kejuaraan keseluruhan Sukan Sabah (SAGA) XI 2025 dengan kutipan 28 pingat emas, 36 perak dan 28 gangsa.
Papar muncul naib juara selepas meraih 20 emas, sembilan perak dan lapan gangsa, manakala Sandakan di tempat ketiga dengan 19 emas, 12 perak dan 19 gangsa.
Acara penutupan turut menyaksikan atlet berbasikal dari Tawau, Akmal Thaqif Begurdy dan atlet olahraga dari Sandakan, Siti Norjahera Beliamor, dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati SAGA XI.
Akmal mengekalkan keunggulannya apabila merangkul lima pingat emas, sekali gus meraih gelaran olahragawan buat kali kedua, manakala Siti Norjahera cemerlang dengan dua emas dan dua perak dalam acara olahraga.
Temasya SAGA XI yang berlangsung selama tujuh hari sejak Sabtu lalu mempertandingkan 23 acara sukan termasuk bola sepak, badminton, ping pong, pencak silat, memanah, tenis dan taekwondo yang buat pertama kali dipertandingkan.Majlis berkenaan dihadiri Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mansur Asun, Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Pang Pick Lim @ Joseph dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Sabah, Asneh Mohd Noor.