Pasukan Petanque Putatan melonjak girang selepas dinobatkan pasukan terbaik setelah memenagi 4 emas, 1 perak dan 2 gangsa.
TAWAU: Arena petanque menutup tirai temasya Sukan Sabah (SAGA) XI Tawau 2025 dengan kejayaan cemerlang kontinjen Putatan yang dinobatkan sebagai juara keseluruhan.
Atlet Terbaik Petanque Ainol Shahramadhan bin Abu Bakar mewakili Putatan berjaya memperoleh dua pingat emas dan satu gangsa menerusi acara shooting lelaki, mixed double serta berpasukan lelaki.
Sementara itu, wakil Sandakan, Nur Anis Natashya binti Aziyan, turut menerima pengiktirafan sebagai Atlet Wanita Terbaik Petanque dengan satu pingat emas dan satu perak menerusi acara shooting wanita dan mixed double.
Dalam kategori berpasukan lelaki, Putatan menewaskan Pitas untuk meraih pingat emas, manakala Kunak meraih gangsa.
Bagi kategori berpasukan wanita, Paitan berjaya membawa pulang pingat emas, diikuti Membakut dengan perak dan Putatan di tempat ketiga.
Secara keseluruhan, Putatan mengungguli acara petanque dengan kutipan empat pingat emas, satu perak dan dua gangsa, diikuti oleh Kudat dan Sandakan yang masing-masing meraih satu emas dan satu perak.
Kejayaan ini sekali lagi menegaskan kemampuan atlet muda negeri dalam mengangkat martabat sukan petanque di Sabah, selain mencerminkan komitmen tinggi jurulatih serta persatuan daerah dalam melahirkan bakat baharu yang berpotensi besar untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.






























