KOTA KINABALU: Program Sabah Sihat 2.0 menjadi platform penting dalam mendekatkan pelbagai perkhidmatan kesihatan dan kesejahteraan kepada rakyat melalui penyediaan saringan kesihatan, khidmat kaunseling, pameran serta program komuniti di bawah satu platform.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki berkata, inisiatif seumpama itu penting bagi memastikan masyarakat mendapat akses yang lebih mudah kepada maklumat, perkhidmatan dan sokongan yang berkaitan dengan kesihatan serta kesejahteraan diri dan keluarga.
“Sabah Sihat 2.0 bukan sekadar program kesihatan, tetapi merupakan platform yang menghimpunkan pelbagai agensi dan rakan strategik untuk membawa perkhidmatan lebih dekat kepada rakyat.
“Melalui pendekatan ini, masyarakat bukan sahaja dapat memperoleh maklumat yang bermanfaat, malah berpeluang menjalani saringan kesihatan dan mendapatkan khidmat sokongan yang diperlukan,” katanya ketika merasmikan Program Sabah Sihat 2.0 di Kompleks Sukan Likas di sini hari ini.
Beliau berkata, program yang berjaya menarik penyertaan lebih 1,000 peserta itu turut menampilkan pelbagai perkhidmatan termasuk Wellness on Wheels (WOW) oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan Pusat Keluarga Bergerak (PKB) oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
Selain itu, pelbagai pameran dan pengisian turut disediakan melibatkan agensi kerajaan serta pertubuhan komuniti termasuk Pusat Autisme Sabah, Cheshire Home dan Sabah Society for the Deaf.
Menurut Julita, penyediaan perkhidmatan secara langsung kepada masyarakat memainkan peranan penting dalam meningkatkan literasi kesihatan dan kesejahteraan dalam kalangan rakyat.
“Kesihatan dan kesejahteraan perlu dilihat secara menyeluruh, meliputi aspek fizikal, mental dan sosial. Justeru, usaha mendekatkan perkhidmatan kepada komuniti perlu terus diperkukuhkan agar lebih ramai rakyat dapat memperoleh manfaat daripadanya.
“Kerajaan Negeri komited untuk terus memperluaskan akses kepada perkhidmatan kesihatan dan kesejahteraan yang berkualiti selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya untuk melahirkan masyarakat yang sihat, produktif dan sejahtera,” katanya.
Turut hadir ialah Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat (KWKKR), Datuk Rina Jainal dan Setiausaha Tetap KWKKR, Datuk Maria Chong.
































