KIULU: Keupayaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk berinteraksi secara tegas namun konstruktif dengan Kerajaan Persekutuan telah menjadi faktor penting dalam memastikan keperluan dan aspirasi Sabah lebih difahami di Putrajaya, kata Ketua Penerangannya, Datuk Joniston Bangkuai.
Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu itu berkata, pendekatan GRS yang berkesan dan seimbang dengan kepimpinan Persekutuan — termasuk keserasiannya dengan pentadbiran perpaduan nasional yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim — telah membuahkan hasil nyata kepada negeri ini.
“Pendekatan positif ini telah membuka ruang kepada perhatian lebih besar serta peningkatan peruntukan kepada Sabah daripada Kerajaan Persekutuan.
“GRS telah membuktikan bahawa apabila kita bersuara dengan satu nada dan mengemukakan keutamaan Sabah dengan jelas serta tegas, Putrajaya akan mendengar,” katanya selepas menghadiri pertemuan bersama Ketua-Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri dan Ketua-Ketua Kampung di sini hari ini.
Joniston memberi contoh, Commercial Collaboration Agreement (CCA) dengan Petronas yang membolehkan penyertaan lebih besar Sabah dalam industri minyak dan gas, sebagai hasil nyata pendekatan GRS yang matang dan diplomatik dalam menguruskan hubungan dengan Kerajaan Persekutuan sehingga berjaya memperkukuh pengiktirafan terhadap hak-hak Sabah.
“Pencapaian ini terhasil daripada dialog berterusan, saling menghormati dan kematangan politik dalam mengurus hubungan antara Sabah dan Putrajaya,” katanya.
Joniston menambah, walaupun slogan seperti ‘Sabah untuk Orang Sabah’ memberi kesan emosi kepada rakyat, kemajuan sebenar hanya dapat dicapai apabila semangat itu diterjemahkan kepada manfaat konkrit untuk rakyat Sabah.
“Itulah sebabnya mengekalkan suasana politik yang harmoni di Sabah amat penting. Tidak ada gunanya menuduh pihak lain sebagai ‘pengkhianat atau penceroboh dari Semenanjung’ sedangkan hakikatnya, kerjasama membina dengan parti-parti berasaskan Persekutuan adalah sebahagian daripada realiti politik masa kini.
“Yang paling utama ialah Sabah terus dipimpin oleh parti-parti berteraskan Sabah — dan GRS telah membuktikan dirinya sebagai wadah yang menyatukan parti-parti ini di bawah satu payung, berasaskan keyakinan kukuh bahawa Putrajaya mengiktiraf keinginan rakyat untuk kepimpinan tempatan,” katanya.
Joniston menegaskan bahawa GRS berhasrat mengekalkan momentum ini dengan terus memperjuangkan inisiatif serta keputusan yang membawa manfaat sebenar dan berkekalan kepada rakyat Sabah.
“Kami mahu membina atas asas kepercayaan dan persefahaman ini supaya agenda pembangunan jangka panjang Sabah kekal di landasan yang betul,” tambahnya.
































