Hajiji (kanan) menyaksikan siaran langsung bersama Masidi.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menyifatkan Belanjawan 2026 sebagai belanjawan progresif dan berhemat yang tidak mengabaikan kepentingan pelbagai lapisan masyarakat, khususnya golongan kurang berkemampuan.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri atas pembentangan Belanjawan Negara yang progresif ini.
“Belanjawan yang memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi negara ini turut memperuntukkan RM6.9 bilion untuk Sabah, yang diyakini akan memberikan manfaat besar kepada negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas menyaksikan siaran langsung pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Anwar turut mengumumkan bahawa peruntukan RM6.9 bilion kepada Sabah bagi tahun depan merupakan yang tertinggi pernah diberikan oleh Kerajaan Persekutuan.
“Belanjawan ini bukan sekadar angka, tetapi hasil daripada kestabilan politik Sabah di bawah pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta keyakinan Kerajaan Persekutuan terhadap kepimpinan negeri. Sabah kini benar-benar diarusperdanakan dalam pembangunan negara,” kata Hajiji.
Dalam Belanjawan tersebut, Anwar turut mencadangkan peruntukan sebanyak RM765 juta bagi pembinaan talian elektrik Southern Link, yang menurut Hajiji akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Sabah.
Turut diperuntukkan ialah RM220 juta bagi kerja-kerja membaik pulih infrastruktur yang rosak akibat bencana alam baru-baru ini yang menjejaskan Sabah, termasuk di IPG Gaya, serta RM39 juta untuk Fasa 2 projek tebatan banjir.
Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas sokongan berterusan terhadap projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, dengan peruntukan sebanyak RM1.67 bilion bagi tahun hadapan.
Beliau juga memuji komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menunaikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta memenuhi tuntutan Sabah, termasuk dengan menaikkan Geran Khas Interim daripada RM300 juta kepada RM600 juta.
Turut hadir, Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong; pembantu menteri serta pegawai kanan kerajaan negeri.
































