KOTA KINABALU: Polis mengesahkan objek menyerupai bom tangan (hand grenade) yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAB KKIA) petang tadi sebenarnya hanyalah alat permainan kanak-kanak.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya menerima satu laporan berhubung penemuan objek berkenaan di kawasan Balai Pelepasan Domestik/Antarabangsa LTAB KKIA sekitar jam 1.40 petang.
Bertindak atas maklumat diterima, Ketua Polis Balai LTAB KKIA bersama pasukan keselamatan segera menjalankan pemeriksaan di lokasi dan menemui satu objek berwarna hitam di atas tiang penghadang berhampiran pintu masuk balai berkenaan.
“Susulan itu, kawalan keselamatan telah dilaksanakan di kawasan terbabit bagi memastikan keselamatan awam terjamin. Pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang kanak-kanak lelaki berpakaian seragam sekolah bersama seorang wanita telah meletakkan objek tersebut di lokasi sebelum beredar dari tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Kasim, Pasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah yang diketuai Timbalan Superintendan John Batius turut dipanggil ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.
“Hasil siasatan mendapati objek tersebut bukan bahan letupan, sebaliknya alat permainan kanak-kanak,” katanya.
Beliau menasihati orang ramai supaya tidak meninggalkan sebarang objek mencurigakan di tempat awam yang boleh menimbulkan kekusutan atau kegusaran dalam kalangan masyarakat.
“PDRM turut merakamkan penghargaan kepada orang awam dan pihak pengurusan LTAB KKIA atas keprihatinan serta kerjasama yang diberikan dalam memastikan keselamatan awam sentiasa terpelihara.
“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan insiden ini,” tambahnya.
































