Khairul (tengah) menerima cenderamata daripada Steve (dua dari kiri).
PENAMPANG : Program Tamu Suara 360 dapat menjadi platform terbaik bagi para belia menyuarakan pandangan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, program itu memberi ruang kepada generasi muda berkongsi idea demi masa depan negeri, khususnya dalam aspek pembangunan belia.
“Apabila kita bercakap tentang perkara yang baik, banyak manfaat boleh diambil untuk negeri dan masyarakat, terutamanya belia.
“Program ini adalah platform yang terbaik untuk belia menyuarakan dan juga memberikan aspirasi mereka terus kepada kerajaan.
“Pihak kerajaan wajib mendengar suara belia kerana ianya akan melibatkan pelbagai aspek bukan sahaja aspek pembangunan belia tetapi juga aspek sosio-ekonomi, pembentukan masyarakat, jati diri dan hala tuju pentadbiran negeri.
“Tetapi kalau hanya mendengar cadangan tanpa pelaksanaan, ia hanya kosmetik. Apa yang perlu ialah keseimbangan antara cadangan dan tindakan,” jelasnya ketika ditemui media selepas merasmikan Program Tamu Suara 360 di Dewan Hongkod Koisaan KDCA di sini, pada Sabtu.
Menurutnya, kerajaan juga harus terus memberi peluang kepada belia kerana inilah fasa penting dalam kehidupan mereka.
“Yang paling utama ialah bagaimana cara kita membentuk dan mendidik belia agar menjadi aset negeri pada masa depan,” tambahnya.
Dalam pada itu, Khairul turut mengingatkan belia agar tidak mengikut budaya luar yang tidak sesuai, sebaliknya kembali kepada asas kebudayaan sendiri.
“Belia kini terdedah dengan pelbagai maklumat dan gerakan, tetapi yang penting ialah kita mesti kembali kepada budaya dan jati diri kita,” katanya.
Program berkenaan disertai oleh kira-kira 500 belia yang terdiri daripada pelajar sekolah, penuntut Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, ahli persatuan belia dan penuntut Institusi Pendidikan Guru.
Turut hadir Huguan Siou, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Sabah, Ibrahim Othman, Pegawai Tadbir Unit Kepimpinan dan Kemahiran Belia Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Pamela Joan George, Presiden Majlis Belia Sabah, Abqaree Fawwaz Abekan dan Pengerusi Majlis Belia KDCA, Steve Johnny Mositun.