KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan semua parti komponen perlu kekal bersatu dan menggunakan satu lambang dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah tahun ini.
Penegasan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Presiden GRS yang dipengerusikan Pengerusinya, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor kelmarin bersama semua Presiden parti komponen serta Setiausaha Agung, Datuk Seri Masidi Manjun.
Mesyuarat selama hampir dua jam itu membincangkan persiapan gerak kerja PRN17, termasuk rundingan agihan kerusi dengan Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan dan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee menyatakan hasrat untuk menggunakan lambang parti masing-masing pada PRN akan datang.
Keputusan itu sekali gus membuka kemungkinan STAR dan SAPP meletakkan calon di kerusi-kerusi yang turut ditandingi calon PH.
“Mesyuarat telah memutuskan bahawa mana-mana parti komponen yang memilih untuk meletakkan calon menggunakan lambang parti masing-masing dianggap telah keluar daripada GRS. Oleh itu, calon-calon daripada parti tersebut tidak lagi mewakili GRS dalam PRN17,” kata Masidi dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Hajiji dalam mesyuarat turut mengingatkan bahawa semua komponen mesti menghormati persetujuan kerjasama yang diumumkan bersama PH sebelum ini.
“Atas prinsip kesatuan, GRS harus bergerak sebagai satu entiti dengan semua calon menggunakan lambang GRS,” jelas Masidi.
Dengan keputusan itu, keanggotaan STAR dan SAPP dalam GRS dengan sendirinya tamat.
Masidi berkata, Presiden Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Cinta Sabah (PCS) menghormati keputusan STAR dan SAPP bertanding secara solo.
Menurutnya, Presiden STAR dan SAPP juga menghormati pendirian parti lain yang memilih untuk kekal bersama GRS serta meneruskan kerjasama strategik dengan PH.
“Mesyuarat berlangsung dalam suasana mesra, ikhlas dan berterus terang. Semua pimpinan akur dengan keputusan yang dibuat secara musyawarah serta meraikan perbezaan pandangan dalam semangat demokrasi yang matang.
“GRS akan terus memperkasakan gerak kerja dan memantapkan strategi bagi menghadapi PRN17 dengan komitmen penuh kepada kestabilan dan kesejahteraan negeri Sabah,” katanya.