David Woods
KENT: Seorang wanita di Britain memohon kebenaran mahkamah untuk menggali semula kubur suaminya selepas mendapati mendiang dikebumikan bersebelahan dengan lelaki yang pernah merosakkan kehidupan keluarganya.
Menurut Utusan Malaysia, David Woods, 81, meninggal dunia pada awal tahun 2024 dan dikebumikan di tanah perkuburan gereja St Nicholas, Kent. Majlis pengebumiannya berlangsung dengan tenang dan penuh penghormatan, disaksikan keluarga serta rakan-rakan terdekat.
Namun, ketenangan itu tergugat beberapa bulan kemudian apabila tanah perkuburan bersebelahan kuburnya diberikan kepada Daniel Thomas, 47, seorang penjenayah tegar dan musuh lama keluarga Woods.
Thomas, yang mempunyai rekod jenayah termasuk kes penipuan, dianggap sebagai individu yang merosakkan kehidupan keluarga berkenaan.
Balu Woods memutuskan mengambil tindakan undang-undang jarang berlaku dengan memohon ke Mahkamah Tinggi bagi membolehkan kubur suaminya digali semula.
Hakim akhirnya bersetuju, selepas mendengar hujah mengenai penghinaan yang menimpa mendiang Woods.
Minggu lalu, jasad Woods digali semula dan dipindahkan ke plot lain yang lebih jauh daripada kubur Thomas dalam satu upacara ringkas tanpa majlis besar-besaran.
“Ini antara kes paling luar biasa dan pelik pernah saya dengar, seolah-olah dari kisah klasik Trollope berbanding realiti abad ke-21. Tetapi, apabila difikirkan, jelas sekali mengapa balu dan anak-anak Woods berasa ini satu-satunya pilihan, meskipun nampak aneh,” kata seorang sumber undang-undang kepada Daily Mail.
Woods, seorang penyokong setia Arsenal dan bapa kepada dua orang anak, tinggal di kampung Ash berhampiran bandar pelabuhan Sandwich.
Bagi keluarganya, pemindahan kubur itu memberi kelegaan bahawa beliau akhirnya dapat bersemadi dengan tenang, jauh daripada individu yang dianggap sebagai musuh paling besar dalam hidupnya.