Seorang pekerja meneliti sofa yang dipasarkan ke Eropah dan AS di sebuah bengkel perabot Suqian di wilayah Jiangsu, China.
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menekankan usaha melindungi keselamatan negara ketika mengumumkan tarif baharu sehingga 50 peratus ke atas kabinet dapur, almari bilik air dan 30 peratus ke atas perabot import, langkah yang menimbulkan persoalan dalam kalangan ramai pakar ekonomi.
Menurut Utusan Malaysia, Trump mendakwa produk berkenaan membanjiri pasaran AS dan menjejaskan industri tempatan.
Beliau berkata, tarif itu dikuatkuasakan bulan depan di bawah Seksyen 232 undang-undang keselamatan negara, yang membolehkan presiden mengenakan tarif tanpa kelulusan Kongres jika sesuatu import dianggap mengancam keselamatan.
Namun, pakar berpendapat alasan itu sukar diterima.
“Sukar untuk melihat kaitan produk ini dengan keselamatan negara, walaupun dalam takrifan paling luas,” kata bekas pegawai Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Pensyarah Dasar Perdagangan Universiti Cornell, Profesor Eswar Prasad.
Sementara itu, Persatuan Dapur dan Bilik Air Kebangsaan (NKBA) yang mewakili pengeluar dan pereka tempatan berkata, pihaknya masih meneliti kesan tarif itu, sambil menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama dengan rakan industri di seluruh dunia.
Pentadbiran Trump sebelum ini pernah menggunakan Seksyen 232 untuk mengenakan tarif ke atas keluli, aluminium, kuprum dan kereta.
Tindakan terbaharu menyasarkan perabot ini dilihat sebagai ujian sejauh mana alasan keselamatan negara boleh dilentur untuk agenda tarif Presiden.
Seorang pegawai Rumah Putih berkata, laporan rasmi mengenai siasatan Seksyen 232 akan mendedahkan bagaimana kabinet dapur dan perabot import boleh dianggap ancaman keselamatan namun, ramai pemerhati semakin skeptikal.
“Alasan ini semakin tipis, dan tindakan unilateral sebegini hanya mencetuskan ketidaktentuan dalam perdagangan global serta akhirnya merugikan pengguna dan perniagaan AS sendiri,” kata Prasad.