David Chan
KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Cawangan Sabah menyatakan sokongan penuh terhadap saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar rakyat memanfaatkan tanah terbiar di kediaman masing-masing untuk bercucuk tanam.
Pengerusinya, David Chan berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja dapat membantu mengurangkan beban kos sara hidup akibat harga makanan yang tinggi, malah merupakan langkah berwawasan untuk menjamin keselamatan makanan negara pada masa depan.
“Pandemik Covid-19 dan gangguan rantaian bekalan global membuktikan betapa rapuhnya kebergantungan kita kepada pasaran luar. Malaysia perlu mengurangkan pergantungan kepada makanan import yang kini mencecah hampir 60 hingga 70 peratus daripada bekalan harian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan bahawa pemberdayaan komuniti dan isi rumah untuk bercucuk tanam adalah kunci dalam membina sistem makanan yang lebih berdaya tahan.
“Pertanian komuniti dan kebun rumah mampu menjadikan pengguna sebagai pengeluar, menggerakkan ekonomi tempatan serta memberi Malaysia kedaulatan makanan sebenar,” katanya.
Bagi memastikan usaha ini berterusan, YPNM Sabah menggesa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memperkenalkan skim subsidi bersasar bagi pertanian organik, termasuk sokongan untuk kompos, baja organik, sistem tadahan air hujan dan kit permulaan bercucuk tanam.
“Langkah ini bukan sekadar subsidi tetapi pelaburan — untuk memulihkan tanah kita, mengukuhkan keselamatan makanan tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada hasil import,” tambahnya.
Sehubungan itu, YPNM Sabah menyeru rakyat agar menyahut saranan Perdana Menteri dengan menjadikan tanah terbiar sebagai kebun produktif demi menjamin masa depan yang lebih sihat dan berdaya tahan.