WASHINGTON: Nama jutawan teknologi, Elon Musk dan Putera Andrew dari Britain kembali menjadi perhatian selepas muncul dalam fail baharu yang didedahkan oleh ahli Demokrat di Jawatankuasa Pengawasan Dewan Perwakilan berkaitan skandal pesalah seks, Jeffrey Epstein.
Menurut Utusan Malaysia, fail berkenaan yang diserahkan oleh Jeffrey Epstein Estate dilaporkan mengandungi rekod mesej telefon, log penerbangan, manifes penumpang pesawat, rekod kewangan serta jadual harian Epstein.
Menurut rekod bertarikh 6 Disember 2014, terdapat catatan yang berbunyi ‘Peringatan: Elon Musk ke pulau 6 Dis (adakah ini masih berlaku?)’.
Musk sebelum ini pernah mengakui menerima jemputan Epstein ke pulau persendiriannya, namun menegaskan beliau menolak pelawaan tersebut.
Dalam satu rekod penerbangan bertarikh 12 Mei 2000, Putera Andrew disenaraikan sebagai penumpang bersama Epstein dan rakannya, Ghislaine Maxwell, dalam penerbangan dari Teterboro, New Jersey ke West Palm Beach, Florida.
Maxwell kemudiannya disabitkan bersalah pada 2021 kerana bersekongkol dengan Epstein untuk memperdagangkan gadis bawah umur.
Bagaimanapun, catatan di laman web Istana Buckingham pada 11 Mei 2000 menyatakan Putera Andrew berada di New York untuk menghadiri satu majlis kebajikan dan kembali ke Britain pada 15 Mei.
Putera Andrew sebelum ini menafikan sebarang salah laku.
Selain Musk dan Putera Andrew, fail berkenaan turut menyebut nama tokoh ternama lain termasuk pengasas teknologi internet, Peter Thiel, bekas penasihat Donald Trump, Steve Bannon serta pengasas Microsoft, Bill Gates.
Antara catatan lain yang ditemui ialah perancangan makan tengah hari bersama Thiel pada November 2017, sarapan pagi bersama Bannon pada Februari 2019 serta rancangan pertemuan dengan Gates pada Disember 2014.
Epstein, seorang ahli kewangan yang pernah disabitkan kesalahan jenayah seks pada 2008, ditahan semula pada Julai 2019 atas tuduhan pemerdagangan seks sebelum ditemui mati dalam sel penjara di New York pada Ogos tahun sama.