Zara Qairina Mahathir
KOTA KINABALU: Pelajar A yang merupakan salah seorang remaja didakwa atas tuduhan mengeluarkan kenyataan mencela terhadap Allahyarham Zara Qairina Mahathir selesai memberikan keterangannya kira-kira pukul 3.30 petang tadi.
Menurut Utusan Malaysia, pada ketika ini, Mahkamah Koroner sedang mendengar keterangan saksi kanak-kanak kedua yang juga saksi ke-10 dalam inkues kematian Zara Qairina.
Pelajar A mula memberikan keterangannya semalam bermula pukul 10 pagi.
Sebahagian besar prosiding semalam dan hari ini menyaksikan Pelajar A disoal oleh peguam Shahlan Jufri yang mewakili Noraidah Lamat, ibu kepada Zara Qairina.
Hari ini merupakan hari ke-12 prosiding inkues tersebut.
Secara keseluruhan, seramai 35 saksi kanak-kanak dijangka memberi keterangan.
Daripada jumlah tersebut, lima daripadanya merupakan remaja sama yang didakwa di Mahkamah Kanak-kanak pada 20 Ogos lalu atas tuduhan mengeluarkan kata-kata mencela terhadap Zara Qairina.
Selain Pelajar A, empat lagi remaja itu dinamakan sebagai Pelajar B, Pelajar C, Pelajar D dan Pelajar E.
Identiti kelima-lima pelajar itu dan saksi kanak-kanak yang lain tidak boleh didedahkan mengikut Seksyen 15 Akta Kanak-kanak 2001.
Seksyen tersebut antara lain menyatakan media tidak boleh mendedahkan nama, alamat, institusi pendidikan atau apa-apa butiran mana-mana kanak-kanak, tidak kira saksi, mangsa atau tertuduh yang mungkin membolehkan kanak-kanak tersebut dikenal pasti.
Prosiding yang didengar secara tertutup oleh Koroner Amir Shah Amir Hassan akan bersambung esok.
































