KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Cawangan Sabah menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan menyalurkan subsidi petrol RON95 kepada semua rakyat Malaysia.
Pengerusinya, David Chan berkata, langkah berani yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu adalah tindakan tepat ketika dunia berdepan cabaran ekonomi global, termasuk kesan tarif import dari Amerika Syarikat serta peningkatan kos sara hidup.
Menurutnya, di bawah skim subsidi baharu itu, harga pam RON95 kini dihadkan pada RM1.99 seliter, sekali gus diyakini mampu meringankan beban kewangan rakyat serta merangsang pertumbuhan dalam pelbagai sektor industri.
“Kos bahan api adalah komponen utama yang mempengaruhi logistik, pembuatan, dan pertanian. Penurunan harga ini bukan sahaja membantu rakyat, malah akan menstabilkan harga rantaian bekalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Chan berkata, walaupun harga minyak dunia bergantung kepada turun naik pasaran, campur tangan kerajaan melalui subsidi ini diyakini dapat melindungi kuasa beli rakyat serta meningkatkan keyakinan perniagaan.
“Kami percaya langkah ini akan memberi kesan berganda kepada ekonomi negara, meningkatkan produktiviti dan membantu industri terus berdaya saing walaupun berdepan tekanan ekonomi global,” tambahnya.
Sehubungan itu, YPNM turut menggesa pengguna dan pihak industri supaya menggunakan peluang yang diwujudkan kerajaan ini dengan bijak, demi bersama-sama membina ekonomi negara yang lebih mampan.
































