KENINGAU: Suasana di Bandukan Eko-Park bertambah ceria dengan penganjuran Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak sempena sambutan Hari Malaysia, semalam.
Acara yang dianjurkan oleh Bandukan Eko-Park dengan kerjasama Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau (KeTCA) itu diadakan di bawah siri Malaysia Day Activity with Community Based Tourism (CoBT).
Pertandingan berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada ibu bapa dan anak-anak, sekali gus menyerikan sambutan Hari Malaysia dengan penuh keceriaan. Selain mengasah bakat serta kreativiti generasi muda, program itu turut menyerlahkan keindahan Bandukan Eko-Park sebagai destinasi riadah berasaskan alam semula jadi yang sesuai dikunjungi masyarakat tempatan dan pelancong luar daerah.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengerusi KeTCA, Rafie Robert. Turut hadir ialah Pengurus Bandukan Eko-Park, Johany Anil; Pengerusi Persatuan Kebudayaan Keningau, Mohd. Zaki Zakaria; serta wakil komuniti setempat yang sentiasa menyokong penganjuran program seumpama itu.
Pertandingan tersebut juga menjadi penutup tirai siri program Malaysia Day with CoBT 2025. Namun begitu, pihak persatuan menegaskan komitmen untuk terus menganjurkan pelbagai aktiviti pembangunan pelancongan pada masa akan datang demi memperkasakan lagi sektor pelancongan daerah Keningau.
































