Kerja-kerja pemulihan sepenuhnya disiapkan lewat petang kelmarin.
KOTA KINABALU: Kerja-kerja pemulihan talian penghantaran 275kV Kolopis–Segaliud (No.2) berjaya dilaksanakan selepas sebuah lagi menara Emergency Restoration System (ERS) didirikan lewat petang kelmarin.
Kejayaan itu menandakan satu lagi pencapaian Sabah Electricity Sdn. Bhd. (Sabah Electricity) dalam memastikan kestabilan bekalan elektrik kepada rakyat susulan insiden tanah runtuh pada 13 September lalu yang menyebabkan menara tumbang dan menjejaskan penghantaran bekalan ke Pantai Timur Sabah.
Pada 17 September, talian penghantaran 275kV Kolopis–Segaliud (talian satu) berjaya disambung semula pada jam 8.10 malam, sekali gus menghubungkan kembali Pantai Timur Sabah ke sistem grid dan memulihkan bekalan elektrik ke kawasan terlibat.
Sementara itu, talian kedua 275kV Kolopis–Segaliud ditenagakan pada jam 9.10 malam tadi.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir. Ts. Mohd. Yaakob Hj. Jaafar, berkata kejayaan ini hasil pengorbanan, kepakaran dan komitmen luar biasa pasukan teknikal serta warga kerja syarikat yang bertungkus-lumus tanpa mengira siang dan malam.
“Kedua-dua talian kini bersambung ke sistem grid Sabah. Saya merakamkan penghargaan atas daya usaha seluruh pasukan teknikal dan warga kerja Sabah Electricity yang memastikan sistem grid dapat dipulihkan,” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Yaakob menambah, kejayaan ini turut didorong oleh kerjasama erat Kerajaan Negeri Sabah, pasukan teknikal, kontraktor dan pihak berkepentingan lain.
































