Dr. Jeffrey Kitingan
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI), Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan menegaskan bahawa tiada sebarang dana pernah diterima atau disalah guna berkaitan Memorandum Persefahaman (MoU) projek mitigasi banjir, pengairan dan saliran bernilai RM17 bilion yang ditandatangani pada 15 Mac 2024.
Beliau berkata, MoU tersebut hanya berupa penyataan hasrat (expression of interest) dan tidak mengikat mana-mana pihak dengan komitmen kewangan.
“Dokumen ini hanya membenarkan syarikat Shaanxi Construction Engineering Malaysia Sdn Bhd (SCEM), sebuah anak syarikat Fortune 500 dari China, menjalankan kajian due diligence dan kebolehlaksanaan di 11 daerah sungai terlibat,” katanya dalam satu kenyataan.
Dr. Jeffrey berkata, anggaran pembiayaan sebanyak RM17 bilion itu hanya potensi dan sekiranya berjaya dilaksanakan, ia dijangka mewujudkan sehingga 20,000 peluang pekerjaan.
Mengulas dakwaan pihak tertentu, beliau berkata, tuduhan kononnya dana projek telah diselewengkan adalah fitnah serta tidak berasas kerana projek berkenaan tidak pernah dilaksanakan.
“Tiada satu sen pun dana diterima. Mekanisme pembayaran semula melalui kredit karbon di bawah Perjanjian Pemuliharaan Alam (NCA) serta penjualan pasir tidak dapat direalisasikan. NCA ditentang parti politik tempatan, NGO tertentu dan penjawat awam, manakala eksport pasir diharamkan Kerajaan Persekutuan pada Julai 2024,” ujarnya.
Tambah beliau, kegagalan meneruskan projek tersebut berpunca daripada kekangan peraturan dan pentadbiran termasuk isu belum selesai berkaitan rangka kerja perdagangan karbon serta sekatan eksport sumber negeri.
Menurutnya, sebarang perjanjian selepas proses due diligence sepatutnya tertakluk kepada penilaian menyeluruh dan kelulusan Jemaah Menteri Negeri, selain libat urus dengan Kementerian Kewangan, UPEN serta Pejabat Peguam Besar Negeri.
“Ini adalah usaha berani untuk memutuskan rantaian kebergantungan kepada Malaya dengan menggunakan sumber negeri bagi menyelesaikan masalah rakyat. Namun tanpa mekanisme pembayaran yang jelas, syarikat tidak dapat meneruskan,” jelasnya.
Beliau berkata, sehingga kini pembiayaan bagi projek mitigasi banjir, pengairan dan saliran di Sabah hanya dapat diperoleh melalui peruntukan Rancangan Malaysia Ke-13 hingga Ke-17, sesuatu yang disifatkan amat mendukacitakan.
Namun begitu, Dr. Jeffrey memaklumkan bahawa perbincangan sedang dijalankan bagi mencari projek alternatif dan mekanisme pembiayaan lain yang lebih praktikal.
Katanya, pengalaman ini menjadi pengajaran bahawa keselarasan peraturan yang komprehensif serta sokongan institusi yang meluas amat penting sebelum mana-mana projek berskala besar dapat diteruskan.
“MAFFI dan Kerajaan Negeri komited terhadap ketelusan serta akauntabiliti dalam semua projek masa hadapan. Fokus kami ialah memperkukuh daya tahan Sabah terhadap perubahan iklim, bencana alam dan keselamatan makanan,” tegas beliau.
Dalam pada itu, Dr. Jeffrey memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan pembohongan dan fitnah berkaitan MoU tersebut.
































