KENINGAU: Kejohanan Sepak Takraw Piala BMBR 2025 berlangsung meriah di Gelanggang Sukan Kampung Lambanga, di sini, sempena penganjuran Karnival Sukan BMBR.
Kejohanan anjuran Sekretariat BMBR dengan kerjasama Pengerusi JKKK Kampung Lambanga itu menyaksikan penyertaan lapan pasukan dari kawasan N.40 Bingkor, sekali gus mencerminkan semangat kesukanan dan perpaduan masyarakat setempat.
Program tersebut merupakan inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik bersama Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Keningau, Rafie Robert bagi memupuk minat belia terhadap aktiviti sihat serta memperkukuh jalinan silaturahim melalui sukan.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ketua Kampung Lambanga, Dayu @ Jeffry Maduli yang mewakili Rafie selaku Pengerusi Penganjur Karnival Sukan BMBR.
“Penganjuran kejohanan ini bukan sahaja memberi ruang kepada bakat muda dalam arena sepak takraw, malah menjadi platform mengeratkan kerjasama komuniti kampung. Ia juga selaras dengan aspirasi menjadikan sukan sebagai medium pembangunan belia dan masyarakat,” kata wakil penganjur.
Kejohanan sehari penuh itu turut mendapat sambutan hangat daripada penduduk sekitar yang hadir memberi sokongan kepada pasukan masing-masing. Selain sebagai aktiviti riadah, program berkenaan diharap mampu melahirkan lebih ramai atlet tempatan berbakat serta mengangkat nama Bingkor di peringkat daerah dan negeri.
































