TAWAU: Persidangan Geosains Kebangsaan 2025 (NGC 2025) membuka tirai hari ini di Borneo Royale Hotel, Tawau, Sabah, dengan membawa tema “Earth, Energy and Environment: Navigating the Future”.
Persidangan yang berlangsung dari 18 hingga 20 September itu dianjurkan oleh Geological Society of Malaysia (GSM) dengan kerjasama Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Malaysia Sabah (UMS), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Institute of Geology Malaysia (IGM) serta Board of Geologists (BOG).
Kerjasama ini mencerminkan kesatuan antara institusi akademik, badan profesional dan agensi kerajaan dalam memperkasa ekosistem geosains negara.
Edisi ke-38 NGC menghimpunkan penyelidik, pengamal industri dan agensi berkepentingan untuk membincangkan bidang kritikal termasuk pengurangan risiko bencana, kejuruteraan geologi, pembangunan sumber mineral, geotourism, geofizik, geokimia, perubahan iklim, tenaga boleh diperbaharui, keselamatan air dan tektonik.
Persidangan ini dirasmikan oleh Dekan Fakulti Sains dan Teknologi UMS, P.Geol. Ts. Gs. Dr. Rodeano Roslee.
Menurut beliau, NGC 2025 adalah platform penting untuk penyelidik, profesional industri, agensi kerajaan dan pelajar berkongsi pengetahuan, bertukar pandangan serta memperkukuh jaringan kerjasama dalam bidang geosains.
“Ilmu geosains tidak boleh terhenti pada teori semata-mata, tetapi perlu diterjemahkan kepada inovasi yang mampu memberi solusi terhadap cabaran yang dihadapi masyarakat,” katanya ketika berucap merasmikan persidangan itu.
NGC 2025 turut menampilkan barisan penceramah utama tersohor iaitu P.Geol. Profesor Ts. Gs. Dr. Rodeano Roslee (UMS), P.Geol. Dr. Frederick Francis Tating (JMG Sabah), P.Geol. Assoc. Prof. Dr. Meor Hakif bin Amir Hassan (GSM), P.Geol. Assoc. Prof. Dr. Mohd. Fakhrurrazi Ishak (UMP Al-Sultan Abdullah), serta Dr. Hervé Traineau dari CFG Geothermal.
Selain sesi persidangan, aktiviti pasca program pada 20 September akan merangkumi lawatan teknikal ke Southsea Gold Sdn. Bhd. (SGSB) dan Wullersdorf Resources Sdn. Bhd. (WRSB), diikuti lawatan geotapak ke Columnar Basalt Balung Cocos.
































