Amir Hamzah Azizan
KUALA LUMPUR: Rang Undang Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 diluluskan di Dewan Rakyat hari ini menerusi undian belah bahagian selepas mendapat 125 sokongan Ahli Parlimen.
Menurut Utusan Malaysia, dalam proses undian belah bahagian yang dilaksanakan seramai 63 Ahli Parlimen tidak menyokong RUU berkenaan manakala 32 lagi diumumkan tidak hadir dan seorang memilih untuk tidak mengundi.
Perincian dan matlamat penggubalan RUU berkenaan yang dijelaskan secara terperinci oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim petang semalam, seterusnya dibahaskan oleh 21 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Sepanjang sesi perbahasan semalam, semua Ahli Parlimen pembangkang membantah RUU tersebut bahkan ia juga mendapat bantahan daripada Hasan Karim (PH- Pasir Gudang) yang menyifatkan RUU itu memberikan kuasa keterlaluan kepada Menteri Kewangan.
Pada masa sama, Ahli Parlimen juga menganggap pembentangan RUU tersebut di Dewan Rakyat sebagai terlalu tergesa-gesa kerana tidak dirujuk kepada JPKP.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika menggulung RUU berkenaan menafikan anggapan pembangkang ia dibentang pada saat akhir, sebaliknya menjelaskan penggubalannya sudah bermula sejak tahun 2018 lagi.
“RUU ini kita mula usaha (gubal) dari 2018. Ini bukan perubahan yang mendadak. Ia sudah mengambil kira libat urus yang diadakan (termasuk) untuk menerima cadangan.
“Ada penambahbaikan yang kita buat hasil dari libat urus ini. Sebab libat urus itu sudah lebar (luas), (maka libat urus dengan) Jawatankuasa Pilihan Khas (Parlimen) tak wajib, sebab kita sudah buat libat urus,” katanya.
Amir Hamzah menjelaskan, dibawah RUU ini, peruntukan kuasa untuk menetapkan kaedah lain secara perolehan terbuka dan bersaing diberi kepada Menteri Kewangan di bawah fasal 28(2).
“Sungguhpun demikian, Menteri Kewangan dalam mengadakan peraturan berkenaan kaedah selain terbuka dan bersaing hendaklah disertakan dengan kriteria, kelayakan, syarat dan sekatan.
“Jika ada ketidakpatuhan dalam kaedah selain terbuka dan bersaing ini, keputusan perolehan yang dibuat dibawa ke panel kajian semula dan tribunal. Ini satu kawalan yang baru masuk yang tidak wujud dalam cara perolehan sekarang. Ini penambahbaikan kerana itu kita bawa RUU ini, mahu kawal proses perolehan kerajaan,” katanya.
RUU ini mengandungi 12 bahagian dan 93 fasal yang digubal dengan hasrat untuk mencapai beberapa matlamat jelas dan tegas, iaitu meletakkan pertanggungjawaban sepenuhnya kepada mana-mana pihak yang melaksanakan perolehan menggunakan dana kerajaan.
Ia juga bertujuan menoktahkan amalan rasuah dan ketirisan wang rakyat serta bagi mengenakan tindakan punitif yang tegas ke atas mana-mana pesalah, tanpa mengira penjawat awam termasuk bekas menteri, kontraktor atau mana-mana pihak.
RUU ini digubal untuk mengekang amalan perolehan yang tidak adil dan sering disalah guna, dengan mewajibkan penubuhan dan pentadbiran Panel Kajian Semula ke atas keputusan di semua agensi pelaksana perolehan kerajaan, selain penubuhan Tribunal Rayuan Perolehan kerajaan sebagai badan berkecuali di bawah Kementerian Kewangan.

































