Steven Sim Chee Keong
PUTRAJAYA: Malaysia menyatakan komitmen untuk memimpin usaha mendapatkan kata sepakat dalam kalangan negara anggota ASEAN bagi menerima pakai dua dokumen utama berkaitan pekerjaan hijau yang dibentangkan sempena ASEAN Green Jobs Forum (AGJF) 2025.
Menurut Utusan Malaysia, dua dokumen yang dimaksudkan ialah Penyataan Bersama Mengenai Pelan Tindakan Bagi Pekerjaan Hijau Ke Arah Tenaga Kerja ASEAN Yang Mampan dan Inklusif serta Rangka Kerja dan Pelan Tindakan ASEAN Bagi Peralihan Yang Adil dan Inklusif Ke Arah Pekerjaan Hijau 2025–2030.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, kedua-dua dokumen itu digariskan berdasarkan instrumen penting dalam membentuk visi kolektif dan panduan strategik ASEAN ke arah peralihan adil dan inklusif menuju tenaga kerja hijau yang mampan dan tahan masa depan.
“ASEAN mengiktiraf peluang besar untuk menjadi contoh pembangunan mampan di peringkat global. Namun begitu, kami juga sedar akan wujudnya jurang dalam pelaburan, infrastruktur dan yang paling penting, dasar kerajaan.
“Menerusi Kepengerusian ASEAN 2025, kami berhasrat memperkukuh kerjasama serantau melalui pelaksanaan Rangka Kerja dan Pelan Tindakan ASEAN bagi Peralihan Adil dan Inklusif ke Arah Pekerjaan Hijau (2025–2030) serta penubuhan Pusat Kecemerlangan Serantau ASEAN untuk Pekerjaan Hijau (AGJCOE) bagi merangsang lagi usaha serantau dalam pelaburan dan latihan berkaitan pekerjaan hijau dalam kalangan negara anggota,” katanya pada ucapan perasmian pembukaan ASEAN Green Jobs Forum 2025 di sini hari ini.
Menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), pekerjaan hijau adalah pekerjaan yang baik yang menyumbang untuk memelihara atau memulihkan alam sekitar, sama ada dalam sektor tradisional seperti pembuatan dan pembinaan, atau dalam sektor hijau baharu yang baru muncul seperti tenaga boleh diperbaharui dan kecekapan tenaga.
Forum selama dua hari itu dianjurkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bermula hari ini sehingga esok, bertujuan menangani permintaan yang semakin meningkat terhadap kemahiran hijau di rantau ini serta memacu peralihan adil yang inklusif ke arah masa depan mampan.
AGJF 2025 mendapat sokongan daripada kerajaan Australia menerusi inisiatif Aus4ASEAN Futures, Access Partnership dan Sekretariat ASEAN.
Forum tersebut turut meneroka transformasi latihan kemahiran berteraskan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan bagi menyokong pembangunan tenaga kerja hijau yang berdaya saing dan relevan pada masa hadapan.
Lebih signifikan, Steven Sim berkata, dokumen berkenaan turut mencadangkan penubuhan AGJCOE yang akan berperanan sebagai pusat rujukan dasar, penyelidikan, penanda aras serta pelaksanaan inisiatif berkaitan pekerjaan hijau di rantau ini.
Jelasnya, pusat itu juga dijangka menyelaras penganjuran forum seperti AGJF, selain memupuk kerjasama teknikal, pembangunan keupayaan, dan penyediaan taksonomi serantau bagi klasifikasi pekerjaan hijau selaras dengan keperluan pasaran buruh ASEAN.
Dalam pada itu, beliau berkata, apabila rantau ini melabur dalam ekonomi hijau, kesannya sangat besar, bukan sahaja dalam menangani isu perubahan iklim, tetapi mencipta berjuta pekerjaan hijau yang mampu mengubah kehidupan.
Jelasnya, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dengan matlamat mencapai sifar bersih menjelang 2050 yang dilancarkan dua tahun lalu itu bukan lah sekadar kertas kerja, tetapi pelan tindakan untuk pekerjaan, pelaburan dan industri masa depan.
“Fasa pertama NETR telah menarik pelaburan gabungan awam dan swasta sebanyak RM25 bilion dengan kerajaan menyumbang RM2 bilion sebagai pembiayaan permulaan. Menjelang 2050, NETR menyasarkan penciptaan sehingga 300,000 pekerjaan dalam sektor ekonomi hijau,” ujarnya.
Tambahnya, sejak pelancaran portal pekerjaan, MyFutureJobs pada 2020, lebih 120,000 peluang pekerjaan hijau telah direkodkan.
“Lebih 30 peratus pekerjaan hijau peringkat profesional menawarkan gaji melebihi RM4,000 sebulan, manakala kerja berkemahiran rendah juga menawarkan gaji melebihi RM2,000, jauh di atas gaji minimum negara,” katanya.


































