Fuziah Salleh
KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan tiada tindakan undang-undang akan diambil terhadap peniaga makanan dan minuman berskala mikro serta kecil yang menggunakan gas masak atau gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi sepanjang tempoh Ops Gasak dilaksanakan.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Fuziah Salleh berkata, keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Jun lalu yang turut membenarkan mereka mendapatkan bekalan tong LPG bersubsidi tanpa perlu memohon permit barang kawalan berjadual.
“Ini langkah sementara sepanjang Ops Gasak berjalan, manakala kerajaan akan mengumpul data sehingga hujung tahun 2025 sebelum sebarang keputusan dasar dimuktamadkan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, kelmarin.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) berhubung statistik ketirisan dan penyelewengan subsidi LPG serta langkah mitigasi dalam memastikan pematuhan peraturan sedia ada khususnya melibatkan peniaga kecil.
Fuziah berkata, LPG merupakan barang kawalan yang diwartakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan sejak 1974, penguatkuasaan serta pemeriksaan dilaksanakan KPDN terhadap industri yang menggunakan bahan itu.
Katanya, pada 2015 LPG turut diwartakan sebagai barang harga kawalan dengan harga maksimum ditetapkan RM19.00 bagi tong 10kg, RM22.80 (12kg) dan RM26.60 (14kg), manakala LPG industri kekal mengikut harga pasaran.
Mengulas ketirisan subsidi, beliau berkata, Ops Tiris 3.0 dilaksanakan sejak 1 Januari 2024 dengan nilai subsidi LPG pada tahun itu mencecah RM3.4 bilion berbanding RM3.01 bilion pada 2023.
“Sehingga 25 Ogos 2025, sebanyak 494 kes penyeludupan LPG subsidi direkodkan dengan nilai rampasan dianggarkan RM3.1 bilion.
“Selain itu, bagi mengekang kegiatan decanting, KPDN melaksanakan Ops Gasak bermula 1 Mei lalu dengan nilai rampasan setakat ini sekitar RM7 juta,” katanya.


































