WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menandatangani satu perintah eksekutif yang mengenakan hukuman penjara selama setahun terhadap individu yang membakar negara itu.
Menurut Utusan Malaysia, keputusan itu dibuat biarpun Mahkamah Agung sebelum ini sudah lama memutuskan tindakan tersebut dilindungi oleh Pindaan Pertama Perlembagaan sebagai kebebasan bersuara.
Perintah yang ditandatangani pada hari Isnin itu mengakui keputusan Mahkamah Agung pada tahun 1989, yang memutuskan pembakaran bendera adalah satu bentuk ucapan yang dilindungi.
Namun, perintah itu berhujah tindakan berkenaan ‘berkemungkinan mencetuskan tindakan tidak sah yang serta-merta’.
“Jika anda bakar bendera, anda akan dipenjara selama setahun, tiada pelepasan awal, tiada kompromi.
“Anda akan dipenjara setahun, ia direkodkan dalam rekod anda, dan anda akan lihat tindakan pembakaran bendera akan terus berhenti,” kata Trump
Tindakan Trump itu menerima kecaman daripada kumpulan-kumpulan pembela kebebasan bersuara yang menyatakan perintah tersebut melanggar hak asasi rakyat dan mencerminkan penguasaan kuasa eksekutif tanpa kawalan.
“Kerajaan tidak boleh menghukum aktiviti ekspresif yang dilindungi, walaupun ramai rakyat AS, termasuk presiden, menganggapnya sebagai ‘sangat menjengkelkan dan provokatif’,” kata kumpulan advokasi kebebasan bersuara FIRE dalam kenyataan.
Perintah eksekutif itu turut mengarahkan Peguam Negara Pam Bondi untuk mendakwa mereka yang terlibat dalam pembakaran bendera ‘sehingga ke tahap maksimum yang dibenarkan undang-undang’.


































