Penunjuk perasaan dihalang oleh polis berperisai ketika demonstrasi menuntut pembubaran Parlimen di hadapan bangunan DPR di Jakarta kelmarin.
JAKARTA: Elaun perumahan bulanan baharu ahli Parlimen Indonesia yang diumumkan minggu lalu berjumlah 50 juta rupiah (RM12,957), hampir 10 kali ganda daripada gaji minimum di ibu negara Jakarta.
Menurut Utusan Malaysia, faedah baharu yang diumumkan pada Selasa lalu itu mencetus bantahan besar-besaran rakyat Indonesia ketika negara berdepan ketidaktentuan ekonomi dan langkah penjimatan kerajaan.
Ia dianggap tidak sensitif oleh pakar dan rakyat kerana diumumkan hanya beberapa hari selepas Presiden, Prabowo Subianto berjanji melaksanakan langkah penjimatan ketat serta perbelanjaan kerajaan yang lebih cekap.
Selepas beberapa hari meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial, ratusan rakyat Indonesia yang terdiri daripada kumpulan pelajar dan pertubuhan lain mengadakan protes di hadapan bangunan Parlimen di Jakarta pada Isnin.
Sebahagian peserta berkata, mereka menyertai protes itu kerana kecewa dengan sikap wakil rakyat yang dilihat tidak menghiraukan kesusahan dilalui rakyat marhaen.
“Ini benar-benar menyedihkan. Ramai orang masih berpendapatan kurang daripada 50,000 rupiah (RM12.95) sehari. Mereka seharusnya melihat keadaan masyarakat Indonesia ketika ini sangat parah,” kata seorang pelajar universiti, Ivan kepada wartawan CNA.
Seorang lagi penunjuk perasaan, Zico menyuarakan pandangan serupa, menegaskan wang itu sepatutnya digunakan untuk menambah peluang pekerjaan termasuk menaikkan gaji guru yang kini berada dalam lingkungan 1.2 juta hingga 7 juta rupiah (RM310 hingga RM1,810) sebulan.
Setiausaha Agung Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Indra Iskandar, pada Oktober tahun lalu berkata, ahli Parlimen sedia ada tidak lagi akan disediakan kediaman rasmi kerana kebanyakannya sudah uzur dan tidak lagi sesuai didiami.
Menurut laporan portal berita Detik, jumlah tersebut bersamaan dengan kadar sewa rumah mewah seluas 700 meter persegi lengkap dengan lantai marmar, kolam renang dan garaj untuk empat buah kereta di kawasan paling eksklusif di Jakarta.
Pakar Ekonomi Badan Pemikir Pusat Kajian Ekonomi dan Undang-undang (CELIOS), Media Wahyudi Askar menyifatkan langkah itu sebagai tidak rasional, menegaskan dana tersebut seharusnya digunakan untuk merangsang ekonomi atau mencegah kenaikan cukai tempatan.


































