Teo Nie Ching
KUALA LUMPUR: Syarikat telekomunikasi yang gagal mematuhi Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan (MSQoS) boleh dikenakan denda RM1 juta oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, ketidakpatuhan arahan suruhanjaya tersebut merupakan satu kesalahan yang boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 53 Akta Komunikasi dan Multimedia (Akta 588).
“Selain itu, kegagalan mematuhi arahan tersebut juga boleh dikenakan penalti kewangan sehingga RM500,000 selaras dengan Subseksyen 105(5), Akta 588.
“Ujian yang menunjukkan kelajuan muat turun di bawah 10 Mbps secara konsisten akan disalurkan kepada penyedia perkhidmatan untuk disiasat dan diselesaikan.
“Sekiranya isu tersebut masih gagal ditangani, MCMC menjalankan audit MSQoS bagi memastikan tindakan penambahbaikan dilaksanakan sewajarnya,” katanya di Dewan Rakyat kelmarin.
Beliau menjawab pertanyaan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) berhubung kaedah pemantauan dan penalti dikenakan terhadap syarikat telekomunikasi yang gagal memberi liputan memuaskan khususnya di kawasan luar bandar.
Nie Ching berkata, sebanyak 2,781 ujian kualiti telah dijalankan di seluruh negara dari 1 Januari hingga 31 Julai lalu dan daripada jumlah tersebut, 1,684 ketidakpatuhan (MSQoS) melibatkan 815 lokasi keseluruhannya.
“Pemberi perkhidmatan telah berjaya membuat penambahbaikan pada 462 ketidakpatuhan sehingga patuh terhadap Standard Mandatori.
“Baki 1222 ketidakpatuhan masih dalam proses penilaian untuk pengeluaran Arahan Suruhanjaya kerana melibatkan naiktaraf menara sedia ada atau pembinaan menara baru yang mengambil masa lebih lama,” katanya.
Katanya, pengguna digalakkan untuk membuat aduan secara terus kepada pihak pemberi perkhidmatan sekiranya perkhidmatan yang disediakan tidak memenuhi piawaian MSQoS agar tindakan yang sewajarnya dapat diambil.
Katanya, sekiranya aduan tersebut tidak dapat diselesaikan, pengguna boleh mengemukakan aduan kepada MCMC melalui di https://aduan.mcmc.gov.my.
“Selain itu, orang awam juga digalakkan untuk menyalurkan maklumat berkaitan lokasi-lokasi yang mengalami masalah kualiti perkhidmatan melalui aplikasi MCMC NEXUS,” katanya.


































