Gulamhaidar Khan Bahadar
KOTA KINABALU: Jerayawara Yayasan Sabah Bersama Rakyat (YSBR) 2025 kembali menjelajah negeri Sabah dengan pendekatan yang lebih inklusif dan menyeluruh.
Sebagai salah satu inisiatif utama Kumpulan Yayasan Sabah dalam mendekati rakyat, program ini berlangsung dari 28 Ogos hingga 13 September 2025, merentasi empat zon Kumpulan Yayasan Sabah yang melibatkan pelbagai daerah.
Pelaksanaan YSBR 2025 menjadi medium penting dalam menyampaikan maklumat, peluang dan perkhidmatan terus kepada komuniti setempat. Pengisian program ini merangkumi pelbagai aspek penting seperti pendidikan, pembangunan masyarakat dan ekonomi.
Pelancaran rasmi Jerayawara YSBR 2025 akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, pada 28 Ogos 2025 bertempat di Pisompuruan Square, Tambunan sebagai lambang komitmen berterusan Kerajaan Negeri terhadap agenda pembangunan rakyat secara menyeluruh.
Dalam kenyataan hari ini, Pengarah Yayasan Sabah, Dato’ Sri Gulamhaidar Khan Bahadar berkata, Jerayawara YSBR 2025 bukan sekadar program turun padang.
“Ia merupakan usaha bersepadu yang membawa perubahan positif secara langsung kepada rakyat, khususnya di luar bandar. Kami mahu melahirkan masyarakat Sabah yang berdaya maju, mampu berdikari, berilmu, dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.”
Beliau berkata, jerayawara ini memberi fokus kepada pengupayaan rakyat dari pelbagai sudut.
Antara pengisian utama YSBR 2025 termasuk taklimat pendidikan dan peluang kerjaya yang akan dikendalikan oleh Kumpulan Yayasan Sabah termasuklah Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dan University College Sabah Foundation (UCSF). Taklimat ini akan mengetengahkan program pengajian, tawaran biasiswa serta dermasiswa, selain sesi motivasi yang dirangka khusus untuk para pelajar dan belia.
Kaunter pendaftaran pelajar baharu juga akan dibuka di setiap lokasi jerayawara.
Salah satu pengisian penting YSBR 2025 ialah Program Rebat Madani Kumpulan Yayasan Sabah, yang memberi peluang kepada para pengunjung untuk melunaskan bayaran pinjaman pelajaran Kumpulan Yayasan Sabah secara terus di lokasi program sambil menikmati rebat menarik. Inisiatif ini memudahkan urusan kewangan rakyat tanpa perlu hadir ke pejabat fizikal, sekali gus menyokong budaya tanggungjawab kewangan dalam kalangan peminjam.
Jerayawara ini turut menampilkan pameran Kumpulan Yayasan Sabah serta jabatan-jabatan kerajaan dan Badan-badan bukan kerajaan. Pameran ini akan menampilkan pelbagai inisiatif pembangunan komuniti, sokongan keusahawanan, perkhidmatan pendidikan dan latihan kemahiran yang dapat dimanfaatkan terus oleh para pengunjung.
Aspek kesihatan juga diberi penekanan menerusi pemeriksaan kesihatan percuma oleh Kementerian Kesihatan Malaysia Sabah serta ceramah kesedaran berkaitan penjagaan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan hidup.
Sebagai pelengkap kepada pendekatan holistik jerayawara ini, pelbagai aktiviti santai dan mesra rakyat turut disusun. Antara lain ialah persembahan kebudayaan, hiburan dan cabutan tiket bertuah dengan pelbagai hadiah menarik, menjadikan Jerayawara YSBR 2025 bukan sahaja padat dengan ilmu, malah menyeronokkan untuk seisi keluarga.
YSBR 2025 akan dilaksanakan mengikut zon berikut, Zon Pedalaman Utara (ZPU), Zon Pantai Timur Utara (ZPTU), Zon Pantai Timur Selatan (ZPTS) dan Zon Pantai Barat Utara (ZPBU).
Setiap lokasi penganjuran akan menampilkan pendekatan tersendiri, disesuaikan mengikut keperluan komuniti setempat.
Kerjasama strategik dengan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, institusi pendidikan dan masyarakat terus digembleng bagi memastikan pelaksanaan program ini mencapai sasarannya dan memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat.
“Kumpulan Yayasan Sabah sentiasa meletakkan rakyat sebagai keutamaan. Melalui jerayawara ini, kami bawakan perkhidmatan, peluang dan aspirasi terus ke komuniti. Kesejahteraan Sabah bermula dari kekuatan rakyatnya,” kata Gulamhaidar.
Kumpulan Yayasan Sabah menjemput seluruh lapisan masyarakat untuk hadir dan menyertai Jerayawara YSBR 2025 di lokasi berhampiran sebagai tanda sokongan dalam membina masa depan yang sejahtera dan mampan untuk Sabah.


































