Anwar Ibrahim – Jabatan Penerangan Malaysia
KUALA LUMPUR: Kerajaan menafikan tohmahan bahawa hutang baharu kerajaan meningkat sebaliknya peningkatan itu disebabkan beban faedah hutang lama yang diwarisi.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hutang baharu yang dibuat oleh kerajaan di bawah pentadbirannya kini semakin berkurangan saban tahun, tidak seperti yang dilemparkan oleh pembangkang.
“Yang menjadi isu kerana sesetengah rakan di sebelah sana (pembangkang) kata hutang bertambah. Tidak benar. Hutang baharu kerajaan itu kurang. Saya sudah baca banyak kali iaitu hutang daripada RM100 bilion, turun kepada RM90 bilion, turun RM80 bilion, turun RM70 bilion. Itu yang kita lakukan.
“Tetapi hutang keseluruhan dengan bunga (faedah), baharulah dia berkembang. Jadi janganlah kata kerajaan sekarang (buat) hutang baharu. Tidak betul,” katanya ketika membentangkan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), di Dewan Negara, hari ini.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, selain hutang baharu, kerajaan juga komited mengurangkan defisit fiskal, walaupun ia sering menjadi polemik politik yang tidak berkesudahan.
Beliau berkata, defisit fiskal berjaya diturunkan daripada 5.6 peratus kepada 4.1 peratus dan diunjurkan semakin menyusut kepada kepada 3.8 peratus pada tahun hadapan.
“Kerajaan Madani yang pertama cuba menurunkan defisit fiskal dan hutang baharu walaupun ia menjadi polemik politik. Mengapa kita harus turunkan? Kalau tidak turunkan, hutang membengkak.
“Jadi sebab itu defisit ini harus dikurangkan. Jadi kita sudah kurangkan daripada 5.6 peratus, lima peratus, 4.8 peratus dan sekarang kita unjurkan 3.8 peratus tahun depan dan berikutnya terus turun.
“(Hal ini) kerana selagi defisit itu ada, hutang jumlah keseluruhan akan bertambah,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata, sasaran lima tahun akan datang kerajaan adalah menurunkan defisit fiskal kepada tiga peratus.
Selain itu, katanya kerajaan juga mensasarkan untuk mengekalkan paras hutang di bawah 60 peratus terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Kerajaan turut menyasarkan Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita meningkat kepada RM77,200 pada tahun 2030 dan dijangka melepasi nilai ambang negara berpendapatan tinggi,” katanya.
Melalui RMK13, di bawah rancangan Reformasi Pengurusan Projek dan Fiskal, antara langkah strategik yang dilaksanakan kerajaan ialah meminimumkan perbelanjaan tidak mendesak bagi mencapai defisit fiskal di bawah tiga peratus menjelang 2030.


































