PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan dua pemilik akaun X berhubung ciapan yang mempunyai kecenderungan menghasut dan ugutan jenayah membabitkan serangan ke atas rumah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, dua lelaki berusia 37 dan 43 tahun itu dipercayai pemilik akaun aplikasi X berkenaan untuk membantu siasatan.
Menurutnya, permohonan tahanan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah ke atas kedua-dua tangkapan dibuat hari ini dan suspek pertama direman dua hari manakala suspek kedua empat hari bermula hari ini.
“Polis mengesan dua ciapan itu yang tular di media sosial semalam kerana mempunyai kecenderungan menghasut dan berunsur ugutan jenayah oleh dua akaun aplikasi X tersebut.
“Ia berkenaan isu negara Malaysia akan diambil alih oleh ekstremis dan akan ada revolusi dan satu lagi mengenai komen serangan Israel ke atas kediaman Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, siasatan berhubung penularan dua akaun aplikasi X dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, D5 JSJ, Bukit Aman.
Jelasnya, kes pertama disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Manakala kes kedua disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“PDRM memberi amaran bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak dengan sengaja membuat atau menyebarkan kenyataan yang mempunyai kecenderungan menghasut, ugutan jenayah, atau mungkin menimbulkan kegentaran awam serta mengganggu keharmonian masyarakat di Malaysia.


































