MUMBAI: Kerajaan India mengumumkan akan menggantung sementara penghantaran pos ke Amerika Syarikat (AS) bermula 25 Ogos susulan kekeliruan berhubung tarif yang dikenakan oleh Presiden Donald Trump.
Menurut Utusan Malaysia, langkah yang diumumkan pada Jumaat lalu itu kurang seminggu sebelum pentadbiran Trump menarik balik kemudahan pengecualian cukai terhadap bungkusan bernilai rendah yang memasuki AS.
Kementerian Komunikasi India berkata, perintah eksekutif yang dikeluarkan pada Julai mensyaratkan syarikat pengangkutan atau pihak lain yang diluluskan pihak berkuasa AS untuk mengutip dan menyerahkan duti tarif tersebut.
Namun, menurut kementerian itu, beberapa proses penting berkaitan pelantikan pihak berkelayakan serta mekanisme kutipan dan penyerahan duti masih belum ditentukan.
Akibatnya, syarikat penerbangan kargo ke AS memaklumkan mereka tidak dapat menerima kiriman pos selepas 25 Ogos kerana ketiadaan persediaan teknikal dan operasi.
Justeru, Jabatan Pos India akan menggantung sementara tempahan semua jenis kiriman pos ke AS bermula tarikh tersebut kecuali surat, dokumen dan barangan hadiah bernilai sehingga AS$100 (RM422).
“Kategori dikecualikan ini akan terus diterima dan dihantar ke AS, tertakluk kepada penjelasan lanjut daripada Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP) serta Perkhidmatan Pos AS (USPS),” kata kenyataan itu sambil menambah bahawa usaha sedang dibuat untuk menormalkan perkhidmatan.
Langkah India ini menyusul selepas tindakan serupa oleh perkhidmatan pos dan syarikat penghantaran di Eropah.
La Poste dari Perancis memaklumkan kepada AFP bahawa ia akan menggantung kebanyakan penghantaran bungkusan ke AS bermula 25 Ogos.
Syarikat itu berkata, peraturan pelaksanaan baharu dikeluarkan CBP pada 15 Ogos, menyebabkan perkhidmatan pos Eropah terpaksa berdepan tempoh persediaan yang terlalu singkat.
Pentadbiran Trump sebelum ini mengumumkan akan memansuhkan pengecualian cukai ke atas bungkusan kecil yang memasuki AS bermula 29 Ogos.


































