KOTA KINABALU: Ibu bapa pesakit di Pusat Autisme Sabah kini hanya perlu membayar RM300 seorang berbanding yuran sebenar RM650, berikutan subsidi RM350 yang ditanggung oleh Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA).
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata, subsidi tersebut bertujuan meringankan beban kewangan ibu bapa selain membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan kesejahteraan rakyat selaras dengan agenda Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Kerajaan Negeri sentiasa berusaha meningkatkan perkhidmatan melalui pelbagai agensi kerajaan bagi meningkatkan taraf hidup, ekonomi dan mengurangkan bebanan kehidupan rakyat,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Pusat Autisme Sabah (PAUS) di Sembulan, hari ini.
Terdahulu, dalam ucapannya, James berkata, penubuhan PAUS yang beroperasi di bangunan Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya, Sembulan itu adalah pusat pertama seumpamanya di Sabah dan Malaysia yang dikendalikan sepenuhnya oleh jabatan kerajaan negeri di bawah Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) melalui JPKA.
Beliau turut memuji usaha Pengarah JPKA, Jais Asri dan pasukannya yang berjaya merealisasikan hasrat penubuhan PAUS bagi memberi perkhidmatan khusus kepada kanak-kanak autisme berusia antara tiga hingga tujuh tahun.
“PAUS sangat membantu ibu bapa dalam mendidik anak-anak autisme di peringkat awal, selain mengurangkan kos pendidikan mereka yang biasanya lebih tinggi di pusat swasta.
Ia juga memberi jaminan penjagaan yang lebih sempurna kerana kawalan, makan dan minum anak-anak adalah di bawah seliaan JPKA,” katanya.
Menurut James, kakitangan PAUS terdiri daripada tenaga terlatih dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi membimbing dan mengajar kanak-kanak autisme supaya lebih bersedia ke alam persekolahan sebenar.
Beliau berkata, Kerajaan turut merancang untuk memperluaskan penubuhan PAUS ke daerah lain seperti Tawau, Sandakan, Kudat dan Beaufort, selaras dengan kewujudan bangunan institusi Orang Kurang Upaya (OKU) di seluruh Sabah.
James turut mengalu-alukan pelaksanaan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC), khususnya Sabah Maju Jaya Energy (SMJE), untuk menyumbang kepada pembangunan dan kelengkapan pusat autisme di negeri ini.
“Saya berharap rakyat menggunakan peluang keemasan yang disediakan PAUS untuk masa depan anak-anak autisme dengan sebaik mungkin.
“PAUS mampu meringankan beban ibu bapa dan membantu golongan yang disasarkan ke arah masa depan lebih cerah dan berkeyakinan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan penubuhan PAUS.
“Kita kongsi, kita prihatin,” katanya.
































