Fahmi Fadzil
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menurunkan sebanyak 82,076 kandungan tidak bermoral yang dikenal pasti melanggar peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Akta 588) serta undang-undang sedia ada yang lain.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, rekod tersebut adalah dari 1 Januari 2022 sehingga 1 Julai tahun ini.
Katanya, SKMM dan agensi penguat kuasa lain telah menjalankan operasi bersama bagi mengekang aktiviti tidak bermoral daripada berleluasa.
Katanya, ia termasuklah tindakan sekatan terhadap ‘Grup Budak-Budak Sekolah Rendah’ kerana mempunyai unsur-unsur yang melanggar Seksyen 233 Akta 588 termasuk Child Sexual Abuse Material (CSAM) atau bahan penganiayaan seksual kanak- kanak.
“Bagaimanapun, tindakan muktamad penurunan kandungan juga tertakluk kepada penilaian dan pertimbangan penyedia perkhidmatan media sosial berdasarkan garis panduan komuniti yang telah ditetapkan oleh mereka dan aplikasi undang-undang tempatan yang relevan,” katanya dalam jawapan bertulis dalam portal Parlimen, semalam.
Beliau menjawab soalan Muhammad Ismi Mat taib (PN-Parit) yang meminta kementerian menyatakan usaha dalam menangani kewujudan aplikasi-aplikasi dalam media sosial yang menawarkan perkhidmatan tidak bermoral kepada para pengguna.
Selain daripada media sosial, Fahmi turut berkata, kerajaan melalui MCMC juga melaksanakan tapisan serta sekatan aplikasi yang menawarkan perkhidmatan tidak bermoral di platform seperti Google Play dan Apple Store.
“Namun demikian, kawalan ke atas aplikasi yang dipaparkan di platform tersebut masih tertakluk kepada dasar dan peraturan yang ditetapkan oleh penyedia platform berkenaan, memandangkan kedua-dua platform tersebut dimiliki oleh syarikat-syarikat asing yang beroperasi di luar negara,” ujarnya.
































