Mohamad Norza Zakaria
KUALA LUMPUR: Malaysia akan menampilkan atlet terkuat untuk membawa cabaran negara pada Sukan SEA 2025 di Thailand, Disember ini , berbeza dengan penampilan di Kemboja dua tahun lalu yang mengetengahkan atlet muda.
Menurut Utusan Malaysia, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, Sukan SEA 2025 juga adalah platform terbaik untuk kontingen negara membina momentum untuk Malaysia menjadi tuan rumah pada 2027.
“Ingat tak dahulu, bermula daripada Kemboja saya dah katakan bahawa Kemboja merupakan Sukan SEA pertama yang kita bagi kepada atlet-atlet muda. Tetapi, kali ini, atlet-atlet muda itu dah sampai ke peringkat sepatutnya.
“Kali ini kita fokus kepada prestasi dan kami harap prestasi yang dipamerkan akan meningkat apabila Malaysia menjadi tuan rumah (Sukan SEA) 2027,” kata Norza selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Temasya Sukan SEA ke-33, semalam.
Mengulas lanjut, Norza berkata, kemungkinan terdapat satu atau dua sukan akan diberikan pendedahan ke temasya dwitahunan yang berlangsung di tiga wilayah di Thailand itu bagi membantu persatuan sukan terlibat.
“Tak ada…Kurang, kalau ada pun kurang. Mungkin sukan-sukan yang kita rasa sukan itu buat pertama kalinya, kita nak bagi mereka semangat untuk dedahkan atlet dia kerana untuk membantu persatuan itu.
“Tetapi selain itu, konsep, tema betul-betulnya ialah satu, agar kehadiran kita dapat dirasai dan menerusi prestasi itu kita dapat membina momentum pada Sukan SEA 2027,” katanya.
Ditanya tentang sasaran pingat, Norza memilih untuk menyerahkan perkara itu kepada pihak yang sepatutnya kerana pihaknya lebih kepada persediaan atlet ke temasya berkenaan.
“Ya, isu (sasaran) ada dibangkitkan, tetapi yang itu kami serahkan kepada pihak sepatutnya. Senarai akhir atlet adalah pada 1 September dan kita sudah ada senarai itu, sekarang atlet sedang dalam persiapan dan ada kejohanan-kejohanan pada Ogos dan September,” katanya.
































