Seorang lelaki nyaris maut selepas berpaut pada kereta api laju selepas dia hampir tertinggal akibat menghisap rokok.
VIENNA: Seorang lelaki terselamat selepas berpaut pada bahagian luar sebuah kereta api laju di Austria, dipercayai akibat tertinggal ketika keluar seketika untuk merokok.
Menurut Utusan Malaysia, Jurucakap Kereta Api Negara Austria (ÖBB), Herbert Hofer berkata, kejadian berlaku lewat malam Sabtu di St. Poelten, barat Vienna, apabila lelaki itu sempat memegang bahagian luar gerabak sebelum kereta api melakukan hentian kecemasan.
“Tindakan seperti ini amat tidak bertanggungjawab dan biasanya berakhir dengan kematian.
“Bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah jika terjatuh di bawah kereta api, ia turut mengancam keselamatan pasukan penyelamat, polis dan bomba yang terlibat,” kata Hofer.
Kereta api jenis Railjet itu dalam perjalanan dari Zurich, Switzerland menuju ke Vienna dan berlepas tepat waktu dari St. Poelten namun tiba di ibu negara lewat tujuh minit.
Railjet mampu mencapai kelajuan maksimum 230 kilometer sejam, namun kelajuan ketika kejadian tersebut tidak diketahui.
Akhbar tabloid Heute memetik seorang penumpang berkata, lelaki berkenaan melompat ke ruang antara dua gerabak selepas kereta api mula bergerak dari hentian tersebut.
Lelaki itu dipercayai keluar sebentar untuk merokok di platform sebelum panik lalu mengetuk tingkap bagi menarik perhatian dan tindakan tersebut menyebabkan konduktor mengaktifkan brek kecemasan sebelum kru kereta api membawanya masuk.
Menurut laporan itu, lelaki berusia 24 tahun dari Algeria tersebut kemudian diserahkan kepada pihak polis setibanya di Stesen Meidling, Vienna dan masih menyiasat latar belakangnya.
Pada Januari lalu, seorang lelaki berasal dari Hungary berusia 40 tahun turut terselamat selepas berpaut pada kereta api laju di Jerman, juga kerana tertinggal ketika berhenti merokok.
































