Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun menolak dakwaan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal bahawa bayaran balik bon kerajaan negeri berjumlah RM1 bilion pada tahun 2019 merupakan pencapaian luar biasa pentadbiran Warisan, sambil menyifatkannya sebagai “mengelirukan” dan “bercanggah dengan fakta yang didokumenkan.”
Masidi berkata, kenyataan Shafie pada 12 Ogos lalu memberi gambaran salah kepada rakyat seolah-olah bayaran balik itu berjaya diselesaikan dalam tempoh setahun sahaja melalui kecekapan kewangan kerajaan Warisan.
“Fakta sebenar menceritakan kisah berbeza. Apabila Bon Kerajaan Negeri Sabah RM1 bilion (2014/2019) diterbitkan pada Disember 2014, Bank Negara Malaysia mewajibkan kerajaan negeri mewujudkan Tabung Amanah Pelunasan (Sinking Fund) khusus bagi memastikan bayaran balik penuh dapat dibuat apabila matang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Masidi menjelaskan, di bawah mekanisme tersebut, sebanyak RM200 juta perlu diperuntukkan setiap tahun selama lima tahun supaya bayaran balik tidak menjadi beban kewangan mendadak, tanpa mengira parti mana yang memerintah ketika itu.
Menurut rekod, katanya, sumbangan kepada Tabung Amanah Pelunasan dibuat mengikut jadual yang ditetapkan: RM2 juta pada 2016 (dibentang pada 2015), RM200 juta pada 2017 (dibentang pada 2016), RM400 juta pada 2018 (dibentang pada 2017), dan RM380 juta pada 2019 (dibentang pada 2018). Baki RM18 juta pula diperoleh daripada faedah pelaburan tabung tersebut.
“Dakwaan kononnya Warisan terpaksa ‘mencari’ RM600 juta dalam tempoh beberapa bulan tidak menggambarkan realiti kerana jadual bayaran telah ditetapkan sejak 2014, dan dana yang diperlukan telahpun diperuntukkan dalam perancangan kewangan berbilang tahun kerajaan negeri,” tegas Masidi.
Beliau menambah, sepanjang pentadbiran Warisan, hanya satu peruntukan bayaran balik bon iaitu RM380 juta pada tahun 2019 dibentangkan, satu kewajipan yang akan dilaksanakan oleh mana-mana kerajaan yang memegang tampuk pemerintahan pada masa itu.
Masidi turut menafikan dakwaan Shafie bahawa RM500 juta hasil bon tersebut dibelanjakan di negeri lain, sambil menyifatkannya sebagai “tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.”
“Dakwaan serius sebegini, tanpa sebarang bukti kukuh, mengelirukan rakyat dan menjejaskan kepercayaan terhadap pengurusan kewangan kerajaan negeri,” katanya.
Berdasarkan rekod rasmi, jelasnya, hasil bon berjumlah RM1 bilion itu digunakan sepenuhnya untuk tujuan negeri Sabah — RM544 juta bagi membayar bon kerajaan negeri pertama yang diterbitkan pada 2009, dan RM456 juta lagi untuk membiayai projek pembangunan negeri di bawah Belanjawan Negeri 2014 yang diluluskan.
Beliau menegaskan bahawa bayaran balik bon mengikut jadual adalah kewajipan undang-undang dan kontrak, bukannya tindakan sukarela.
“Disiplin kewangan dan struktur yang membolehkan bayaran balik ini telah diwujudkan pada 2014, bukannya pada 2018,” kata Masidi.
“Perbincangan awam mengenai kewangan negeri mesti berasaskan fakta yang didokumenkan, bukannya angka terpilih atau naratif politik yang menguntungkan pihak tertentu. Rakyat Sabah berhak mendapat kebenaran yang sebenar,” tambahnya.
































