Anwar Ibrahim (barisan kedua tengah) bersama hadirin sempena Rancakkan Madani Kelantan di Dewan Utama Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian Kota Bharu, Kelantan hari ini.
KOTA BHARU: Kerajaan memberi jaminan siasatan kes kematian pelajar sekolah agama, Zara Qairina Mahathir, 13, dilakukan secara telus dan melangkaui sempadan politik.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mengikuti rapat kes berkenaan dan sentiasa berhubung dengan pihak berkaitan untuk mengetahui perkembangan semasa.
“Kita tidak kira anak sesiapa pun miskin atau kaya. Saya hari-hari hubungi pihak berkenaan untuk tanya ada kesilapan atau sebagainya kerana ia melibatkan kematian dan bukan ini perkara mainan,” katanya ketika berucap sempena Rancakkan Madani Kelantan di Dewan Utama Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian, di sini hari ini.
Anwar berkata, semua yang dilakukan mengikut peraturan dan undang-undang serta Peguam Negara mengarahkan menggali semula kubur serta membuat bedah siasat terhadap mangsa.
Terdahulu, kubur Zara Qairina dilapor digali semula dalam masa terdekat bagi membolehkan prosedur bedah siasat dilakukan demi melengkapkan siasatan kes kematiannya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu diambil selepas Jabatan Peguam Negara mengesahkan keperluan bagi proses ekskavasi semula dilakukan, hasil penelitian terhadap laporan penuh siasatan awal yang dikemukakan polis.
































