Adam Adli Abdul Halim (tengah) melepaskan peserta pada program Cycling Tour ASEAN Solidarity 2025 di Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu, Terengganu.
KUALA TERENGGANU: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengenal pasti sekolah sukan di seluruh negara yang diberi keutamaan menerima bantuan dari segi keperluan dan kemudahan.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Menterinya, Adam Adli Abdul Halim berkata, perbincangan bersama Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa diadakan bagi menambah baik aspek kepakaran, kejurulatihan dan fasiliti di sekolah sukan.
“Contohnya antara sekolah sukan utama di Malaysia ialah Sekolah Sukan Bukit Jalil yang berkongsi fasiliti dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan aset di bawah Perbadanan Sukan Malaysia.
“Kita mahu mengembangkan kerjasama yang lebih rapat khususnya di sekolah sukan lain selepas ini. KBS bersedia melihat keperluan yang boleh dipenuhi di peringkat kementerian,” katanya selepas melepaskan peserta Jelajah Kayuhan Solidariti ASEAN 2025 di Dataran Batu Buruk, di sini hari ini.
Menurutnya, walaupun sekolah sukan berada di bawah bidang kuasa KPM, pembangunan atlet di sekolah tersebut sentiasa diberi perhatian oleh KBS.
Beliau berkata, KBS turut mempunyai Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS) yang berperanan menyemak tanggungjawab dan bidang kuasa antara kedua-dua kementerian itu.
“JKPS juga menjadi platform untuk membincangkan secara komprehensif mana yang boleh diselaraskan. Buat masa ini, kita sentiasa bekerjasama rapat dengan KPM,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan memberi tumpuan kepada penyediaan kemudahan di sekolah sukan bagi meningkatkan kecemerlangan bakal atlet negara.
Katanya perbincangan telah diadakan dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bagi memastikan segala bentuk bantuan yang diperlukan dapat disegerakan.
































